Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa pelihara hafazan Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), khususnya pengisian Program Diploma A’aliyah Qiraat, perlu memperluaskan lagi peranan dan siap-siaga untuk sentiasa proaktif melihat ruang dan peluang dalam bersama-sama menyebarluaskan pengajian Al-Quran Al-Karim sebagai sebahagian amalan mulia kehidupan masyarakat.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersabda, inisiatif tertentu yang menjurus kepada usaha-usaha berkolaborasi bagi memperkasakan pengajian Al-Quran melalui media sosial, seperti kaedah hafazan dan tadabbur ayat-ayat pilihan secara tersusun akan dapat menarik minat setiap peringkat umur selaras dengan perkembangan dan akses kepada teknologi infokomunikasi semasa.

    Ke arah itu, Duli Yang Teramat Mulia juga melihat kewujudan institut berkenaan sebagai sebuah institusi pengajian Al-Quran dan hafazan yang ulung.

    “Ianya hendaklah sentiasa bersedia mengorak langkah ke hadapan dengan memperkukuh keupayaan untuk menjalankan kajian dan penyelarasan kaedah meningkatkan hafazan Al-Quran yang sesuai dimanfaatkan dengan demografi negara ini,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi semasa berangkat mengurniakan syahadah

    Diploma A’aliyah Qiraat kepada 28 graduan pada Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB ke-11, 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar ramai pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Rafi Rosli
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima pesambah daripada ITQSHHB. – Gambar oleh Rafi Rosli
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sabda. – Gambar oleh Rafi Rosli
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sijil kepada para graduan. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Gambar oleh Rafi Rosli
    Antara graduan yang diraikan pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Graduan dengan bangga menunjukkan sijil masing-masing. – Gambar oleh Rafi Rosli

    Berangkat sama pada majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri
    Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya turut menyeru para graduan dan pelajar termasuk lepasan institut tahfiz untuk sentiasa memelihara hafazan Al-Quran dan menghayati apa jua isi kandungannya yang berbentuk pengajaran dan teladan, “sepertimana hasrat paduka ayahanda, iaitu pembinaan iman yang kukuh menjurus kepada melahirkan masyarakat yang beriman dan bertakwa”.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda, doa restu dan peranan signifikan ibu bapa dan penjaga dalam memberikan dorongan dan sokongan moral yang berterusan juga menyumbang kepada pencapaian kejayaan bernilai berkenaan di samping komitmen bimbingan barisan pensyarah serta warga kerja institut tahfiz di atas kesungguhan, kecekalan sehingga graduan berjaya ke puncak kejayaan.

    Sabdanya lagi, peluang adalah terbuka luas untuk para graduan melengkapkan diri dengan menambah pengetahuan dan kemahiran baharu.

    Ini menjurus kepada meningkatkan peluang kerjaya dengan memenuhi set kemahiran relevan seiring dengan permintaan pasaran kerja.

    “Sesungguhnya saya juga menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian ITQSHHB yang usianya kini genap tiga dekad pada menepati matlamat dan hasrat murni paduka ayahanda bagi seterusnya melahirkan barisan profesional yang hafaz Al-Quran seiring dengan perkembangan dan tuntutan pembangunan negara yang holistik,” sabdanya.

    Duli Yang Teramat seterusnya menegaskan, perkembangan dan pencapaian akademik pelajar tidak semata-mata tertumpu kepada bidang hafazan Al-Quran, malahan keberhasilan institut tahfiz membangunkan asas yang kukuh kepada lepasannya untuk menentukan hala tuju masing-masing di kedua-dua bidang akademik dan pekerjaan.

    Perkara berkenaan terbukti dengan kejayaan lepasan institut tahfiz dalam pengajian masing-masing, sabdanya, di samping berkeupayaan dan memiliki daya-saing menceburi berbagai-bagai bidang kerjaya tertentu.

    Ini seperti kewangan, kedoktoran, kejuruterbangan, kejuruteraan, ketenteraan dan keusahawanan dalam bersama-sama menyumbang bakti kepada pembangunan negara.

    Program Diploma A’aliyah Qiraat kini mencapai 13 tahun dan ia telah berjaya mengeluarkan seramai 221 graduan dalam mana seramai 11 orang kini berkhidmat di institut tahfiz sebagai guru hafazan Al-Quran, pegawai agama dan pegawai pelajaran manakala 90 lepasan sedang mengikuti pengajian yang lebih tinggi di dalam dan luar negara.

    “Sebagai aset penting yang menjadi penggerak kepada pelaksanaan berbagai rancangan dan agenda pembangunan negara, para graduan ditekankan untuk sentiasa menerapkan nilai-nilai murni sesuai dengan sahsiah Hammalatul Quran,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda