Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) memainkan peranan penting untuk melahirkan guru-guru agama yang terlatih, selaku tonggak pembentuk akhlak dan pembekal ilmu bagi anak bangsa.
Untuk keberkesanan pendidikan, KUPU SB perlu sentiasa menilai dan memperbaharui programnya supaya ianya kekal relevan dan memenuhi keperluan negara, khasnya dalam bidang pendidikan Islam.
“Di samping menghasilkan graduan, maka yang dihasilkan itu juga hendaklah mampu untuk bersaing dalam pasaran kerja.”
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah semasa berangkat ke Majlis Konvokesyen kali ke-14 KUPU SB Tahun 2024 dan seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan Ijazah dan Diploma kepada para graduan pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Terdahulu, Baginda bertitah merakamkan tahniah dan syabas kepada para graduan yang menerima ijazah dan diploma sebagai tanda kejayaan dalam pengajian masing-masing, dan pengorbanan ibu bapa, penjaga dan juga pensyarah atas kejayaan graduan yang diraikan hari ini.
Dalam titah, Baginda turut menghargai usaha kepimpinan KUPU SB dalam menyusun strategi pembaharuan dan penambahbaikan di kolej berkenaan yang mana merangkumi penyusunan semula hala tuju, menyelaras sistem pengurusan dan pentadbiran, penjenamaan semula dan penubuhan pusat baharu, selain menyemak kursus dan struktur program serta meneliti keperluan sumber tenaga manusia.
Baginda dalam titahnya turut menyambut baik segala usaha pembaikan kerana menurut Baginda, ianya adalah tindakan yang tepat bagi sesebuah institusi pengajian tinggi melakukannya dalam memburu kecemerlangan.
KUPU SB mesti menjadi pelopor bagi memperkasa pendidikan agama dan juga jadi peneraju kepada dasar pendidikan patuh syarak.
Manakala dari aspek pengurusan dan kesejahteraan warga KUPU SB pula, tegas Baginda, ia perlu terus diberi perhatian bagi menjamin suasana pembelajaran yang kondusif dan berkualiti tinggi.
“KUPU SB bukan hanya setakat melihat ke dalam dirinya semata-mata, malah juga berhak untuk turut memantau dan menilai, bahkan untuk memberi pandangan tentang mana-mana amalan atau strategi pendidikan yang memerlukan pembaikan dari segi hukum dan kemasyarakatan.
“Dalam erti kata lain, KUPU SB mempunyai tanggungjawab tersendiri untuk menyuarakan pandangannya melalui Majlis KUPU SB tentang apa-apa juga yang berkaitan dengan pendidikan agama, selaras dengan tanggungjawab yang khusus dalam bidang perguruan agama,” titah Baginda.
Di akhir titah, Baginda mengambil peluang merakamkan setinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh ahli Majlis KUPU SB, pentadbiran KUPU SB di bawah pemimpin raes dan seluruh warga KUPU SB serta ibu bapa atau penjaga graduan yang turut sama-sama hadir bagi meraikan kejayaan anak-anak mereka dalam Majlis Konvokesyen ke-14 ini.