Selasa, Julai 29, 2025
33 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Sentiasa percaya diri miliki keupayaan’

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Pelajar-pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) digalakkan untuk menghayati nilai teras universiti, berusaha mencapai kecemerlangan akademik serta menjunjung falsafah negara, Melayu Islam Beraja (MIB).

    Pada masa yang sama, mereka juga diseru untuk mencipta cerita mereka sendiri dan menjadi arkitek naratif mereka dengan mengenal pasti kemahiran yang ingin dikembangkan dan kesan yang ingin dicapai.

    “Terima apa yang tidak diketahui, kerana kehidupan selalunya adalah mengenai mengemudi ketidakpastian,” jelas Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dalam ucapan khas semasa Majlis Pembukaan Minggu Orientasi yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

    Beliau turut menyeru para pelajar untuk sentiasa percaya kepada diri mereka yang mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dan berkembang maju.

    Beliau seterusnya berkata bahawa cara yang terbaik untuk mereka benar-benar memperoleh pengalaman universiti bermakna adalah bagi mereka untuk menyertai secara aktif dalamnya.

    Dr Hazri menyampaikan ucapan alu-aluan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Awang Muhammad Abi Nubil Dzil Ikram mengetuai lafaz ikrar semasa Majlis Pembukaan Minggu Orientasi yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Ini mungkin memulakan usaha untuk mencari penyelesaian dunia sebenar untuk penduduk kampung, komuniti atau industri kita. Atau mungkin ia meluangkan masa awda untuk kerja komuniti, membimbing pelajar junior, atau sekadar menjadi rakan yang menyokong rakan sebaya awda,” kata Dr Hazri lagi.

    Beliau turut menekankan sumbangan mereka mempunyai keupayaan untuk meningkatkan kehidupan masyarakat, membantu pelajar menjadi berguna untuk negara dan rakyat, sambil memperdalamkan perjalanan mereka sendiri di UBD.

    Mengulas mengenai kecerdasan buatan (AI) yang diguna pakai oleh UBD sebagai peralatan berkuasa untuk mempertingkatkan pembelajaran dan penyelidikan, Dr Hazri mengingatkan supaya tidak terlalu bergantung pada Large Language Models seperti ChatGPT bagi tugasan yang memerlukan pemikiran.

    Beliau mengongsi bahawa kajian dari Massachusettes Institute of Technology (MIT) dan Harvard University telah menunjukkan bahawa ia boleh membawa kepada pengurangan aktiviti otak secara signifikan dan hubungan saraf yang lebih lemah, khususnya dalam bidang berkaitan dengan pemikiran kritis dan ingatan.

    Beliau menasihatkan para pelajar untuk sentiasa mempersoalkan lagi hasil AI sebagai pemeriksaan fakta dan mencabar andainya akan memperkukuhkan pemikiran kritis mereka.

    “Oleh itu, jadilah pembantu juruterbang dan bukannya seorang penumpang. Biarkan AI mengendalikan yang berulang, gunakan kuasa kognitif awda bagi tugasan kritikal, kreatif dan kompleks,” ujarnya.

    Beliau menyeru supaya mereka tidak menjadi AI sebagai satu-satunya pembantu mereka tetapi untuk berusaha membina sendiri kedayatahanan mental serta kekuatan intelektual yang diperlukan untuk maju dalam dunia yang pesat berubah.

    Dalam majlis berkenaan, seramai 795 orang pelajar baharu UBD dialu-alukan sebagai sebahagian daripada pengambilan Ogos 2025 di mana ia merangkumi seramai 19 orang pelajar PhD, 124 orang pelajar Sarjana, 510 orang pelajar Sarjana Muda, 133 orang pelajar Unibridge dan sembilan orang pelajar Non-Graduating.

    Bagi menandakan bermula perjalanan akademik mereka, UBD mengadakan acara tahunan, Minggu Orientasi, anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar dan sukarelawan pelajar yang berdedikasi.

    Salah satu acara utama pada majlis berkenaan merupakan lafaz ikrar oleh pelajar-pelajar baru di mana ia merupakan simbolik komitmen mereka untuk menegakkan integriti akademik dan nilai-nilai UBD.

    Lafaz ikrar berkenaan diketuai oleh pelajar Sarjana Muda Sains dalam Matematik dari Fakulti Sains, Awang Muhammad Abi Nubil Dzil Ikram bin Mohamad Subhi.

    Majlis turut menyaksikan nyanyian lagu rasmi UBD, Mendepan Bersama, yang menandakan bermulanya minggu orientasi.

    Sepanjang program orientasi selama lima hari berkenaan, para pelajar mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti bermaklumat yang direka untuk memperkenalkan mereka kepada perkhidmatan universiti, jangkaan akademik dan kehidupan pelajar.

    Ia meliputi Kenali UBDku iaitu sebuah sesi orientasi interaktif dan lawatan kampus bermatlamat untuk membiasakan pelajar kepada lokasi utama, pejabat dan perkhidmatan dalam UBD dan Pameran PMUBD di mana para pelajar berpeluang untuk melibatkan diri dalam organisasi diterajui pelajar, pertubuhan kreatif, kumpulan sukarelawan dan pasukan-pasukan sukan.

    Program itu juga mengetengahkan komitmen UBD kepada kemampanan, pemerkasaan pelajar dan matlamat yang digariskan dalam Pelan Strategik UBD 2025. Pelajar juga diperkenalkan kepada perkhidmatan penting seperti sokongan kaunseling dan kesihatan mental, nasihat akademik serta sesi pembangunan rohani seperti Quranic Journey mingguan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda