SEBAGAI pemilik mahupun pemandu sebuah kereta, kita semestinya mahu melengkapkan diri kita sedikit sebanyak dengan pengetahuan tentang penjagaan sesebuah kereta. Jangan main hentam saja dalam hal penjagaan kereta kerana satu hari nanti ia akan menyusahkan.
Di sini dikongsikan beberapa tips tentang penjagaan brek. Rasanya semua orang pun tahu tentang kepentingan brek bagi sebuah kereta kan? Memandu kereta tanpa brek ataupun dengan brek yang rosak ibarat mengambil jalan pintas ke alam barzah.
1-Sebulan sekali periksa paras minyak brek kereta anda. Pastikan minyak berada di paras antara minimum dan maksimum. Jangan sesekali memandu sekiranya paras minyak brek berada di bawah minimum.
2-Setiap enam bulan semasa kita hendak periksa pelapik brek di tayar. Pastikan lapisan pencengkam masih tebal. Sekiranya kita dapati pencengkam tidak sama antara kiri dan kanan, minta mekanik periksa sistem saluran minyak brek atau sistem tekanan brek kerana kemungkinan tekanan yang dikenakan ke atas kedua-dua brek tidak sama dan ini sangat merbahaya kepada pemanduan terutama membrek semasa kelajuan tinggi. Perkara yang sama juga perlu dilakukan kepada brek drum.
3-Sekiranya terdapat kesan lelehan minyak (kelihatan cat atau apa-apa bahan berasal dari petroleum mencair) pada mana-mana bahagian, minta mekanik memeriksanya. Jangan ambil mudah perkara ini kerana kebocoran ini mungkin kecil tetapi akan menjadi besar semasa membrek kerana tekanan yang dikenakan ke atasnya.


4-Semasa menambah minyak brek, pastikan minyak brek yang betul spesifikasinya. Dot 3 untuk kegunaan biasa (biasanya kereta yang mempunyai disk di depan dan drum di belakang) dan Dot 4 untuk kegunaan berat (untuk kereta yang mempunyai sistem 4 roda disk dan kereta berkuasa tinggi). Jika tidak pasti tanya mekanik kerana kesilapan minyak brek boleh menyebabkan keseluruhan sistem brek kita akan mengalami kerosakan terutama pada seal yang diperbuat daripada getah.
5-Sekiranya terdapat kesan calar pada disk atau pada drum, minta mekanik menilai sama ada boleh pakai lagi atau tidak. Kesan calar ini boleh menjadi penghalang pelapik brek mencengkam disk atau drum. Hasilnya, brek akan kurang berkesan.
6-Kerosakan yang selalu berlaku adalah brek ‘jam’. Keadaan ini berlaku kerana pelapik brek tidak kembali terapung apabila kita lepaskan brek dan terus mencengkam disk. Kerosakan adalah pada angkup yang mengawal pelapik brek.
7-Untuk kereta auto, pelapik brek hadapan akan lebih cepat haus daripada belakang (biasanya duia kali ganda cepatnya), pastikam anda lebih kerap memeriksa pelapik brek hadapan.
8-Semasa memandu elakkan kaki daripada sentiasa berada di atas pedal brek. Ini dapat menjimatkan penggunaan pelapik brek.
9-Semasa menuruni bukit yang curam, jangan gunakan brek, sebaliknya gunakan brek injin (gear rendah) untuk mengawal kelajuan kereta anda.
10-Sekiranya anda suka memandu laju dan secara agresif, tukar pelapik brek kereta anda kepada yang lebih tahan panas. Pastikan anda menukar juga sistem saluran minyak brek anda kepada saluran bersalut keluli. Ini bagi memastikan sistem brek kereta anda dapat berfungsi dalam keadaan tekanan dan suhu tinggi. Tindak balas brek anda akan lebih cepat apabila pedal ditekan.
11-Sekiranya anda ingin mengubahsuai sistem brek kereta anda, pastikan anda mendapat kebenaran bertulis daripada jabatan tertentu kerana adalah menjadi kesalahan dan syarikat insurans kita tidak akan melindungi anda sekiranya kemalangan berlaku disebabkan sistem brek dan sistem brek anda telah ditukar tanpa kebenaran jabatan tertentu.