Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sokongan kepada pesakit kanser memainkan peranan penting dalam membantu pesakit, keluarga dan masyarakat hadapi cabaran kanser.
Mereka berfungsi sebagai pelengkap kepada perkhidmatan kesihatan kerajaan dan menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk rawatan, sokongan emosi, kesedaran dan advokasi.
Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada kumpulan sokongan kanser berkenaan melalui kepakaran seperti ceramah kesihatan, sokongan kesihatan mental daripada pakar psikologi, kepakaran klinikal serta sokongan penjagaan pesakit oleh jururawat.
Kumpulan sokongan kanser yang bergiat aktif ialah Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei dan sebuah kumpulan yang baru didaftarkan iaitu Kumpulan Penjagaan dan Advokasi Kanser, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Di samping itu, beliau menyatakan bahawa Pusat Kanser Brunei akan memberikan peluang kepada bekas-bekas pesakit kanser untuk mempunyai kumpulan sokongan formal mereka sendiri menerusi program yang akan dilancarkan oleh pusat berkenaan.
