Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Jabatan Penerangan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Golongan belia khususnya lepasan ijazah harus menyedari bahawa pada masa ini, bukan lagi seperti dahulu di mana apabila sahaja mereka tamat pengajian dan mendapat ijazah, mereka akan mudah sahaja mendapat pekerjaan.
Pada zaman sekarang ia sudah berubah, namun demikian, perkara yang penting bagi setiap mereka adalah selaku rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mereka harus sentiasa mempertingkatkan keupayaan dan kemahiran diri.
Mereka juga harus berperanan dalam mendukung matlamat dan aspirasi negara dengan cara memberikan sumbangan positif dan melibatkan diri secara langsung sebagai seorang yang lebih intelektual, berfikiran matang dan menjadi modal insan dalam menjalani kehidupan seharian.
Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Jabatan Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar dalam kata alu-aluannya semasa Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah Negara Brunei Darussalam kedua 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Kebun, hari ini.
Beliau berkata bahawa para peserta perkampungan itu merupakan bakal pemimpin yang meneruskan kelangsungan bangsa dan juga negara, perlu diberikan kefahaman dan maklumat mengenai falsafah, aspirasi dan matlamat negara supaya dapat mengimbangi pengetahuan akademik mereka sejajar dengan perkembangan semasa seperti peluang pekerjaan yang lebih mencabar.

Di samping itu, para peserta perlu didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman yang berguna sebagai persediaan mencari pekerjaan atau sebelum masuk ke alam pekerjaan bukan sahaja di sektor kerajaan tetapi juga di sektor swasta.
Menyentuh lanjut mengenai Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah itu, Hajah Noorashidah berharap ia menjadi salah satu platform bagi mempersiapkan para peserta, khususnya lepasan ijazah mengharungi pelbagai cabaran masa depan dan seterusnya mampu mempersiapkan diri sebagai generasi berwawasan, berkualiti, memiliki kemahiran yang tinggi serta mampu berdikari tanpa mengharap bantuan orang lain.
“Pada masa yang sama, para lepasan ijazah diharap akan mampu berfikir secara kreatif dan kritis khususnya untuk mencapai Wawasan 2035, sekali gus mampu merebut peluang-peluang pekerjaan bukan saja di sektor kerajaan tetapi juga di sektor swasta.”
Seramai 15 orang peserta iaitu lima orang peserta lelaki dan 10 orang peserta perempuan, lepasan ijazah dari institusi tempatan seperti Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) dan Kolej Perdagangan Laksamana serta lepasan ijazah dari sebarang laut iaitu Malaysia, Australia dan United Kingdom, menyertai program selama enam hari lima malam di Dewan Kompleks Sukan Sungai Kebun.
Program itu merupakan salah satu platform bagi mempersiapkan para peserta, khususnya lepasan ijazah mengharungi pelbagai cabaran masa depan, dan seterusnya mempersiapkan diri sebagai generasi berwawasan, berkualiti, memiliki kemahiran yang tinggi serta mampu berdikari untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.
Program itu diteruskan dengan taklimat ringkas mengenai Program Perkampungan Sivik yang disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Jabatan Penerangan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya yang berkongsi atur cara, pengenalan, objektif dan perisian kursus, perkongsian video alumni perkampungan sivik dan diakhiri oleh sesi soal jawab.
Sementara itu, Sesi Ice Breaking dan Team Building dikendalikan oleh Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD) yang diadakan di Perkampungan Kompleks Sukan Sungai Kebun, di sini.
Program Perkampungan Sivik merupakan satu projek yang dilaksanakan melalui strategi kerja jabatan iaitu Komunikasi Bersemuka selaras dengan visi jabatan, sebagai salah sebuah agensi peneraju kerajaan dalam menyampaikan dan memberigakan maklumat rasmi kerajaan.
Selain daripada itu, program itu juga salah satu platform ke arah melengkapkan para peserta untuk mampu berdaya saing, mampu mendepani segala cabaran dan mampu merebut peluang-peluang pekerjaan.
Program Perkampungan Sivik yang telah dikendalikan sejak 1976 bukan sahaja memfokuskan kepada lepasan ijazah sebarang laut tetapi kini dilaratkan kepada lepasan ijazah tempatan yang belum bekerja atau yang berminat untuk menjadi pengusaha.