Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa waspada ketika hujan lebat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) mengingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa berwaspada semasa keadaan hujan lebat dan adalah penting untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir.

    Risiko tanah susur juga akan meningkat terutama berlakunya hujan lebat berpanjangan melebihi dua jam dengan kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang. Keadaan laut bergelora dan angin kencang juga adalah berbahaya terutamanya kepada bot-bot kecil dan aktiviti sukan laut.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan melihat keadaan cuaca dari semasa ke semasa sebelum melakukan aktiviti di pantai atau di perairan serta jangan berenang terlalu jauh dari pantai di luar kemampuan dan sentiasa mengawal anak-anak jika bermain atau berenang di pantai. Selain itu, pastikan memakai jaket keselamatan semasa bermain jet ski atau papan luncur dan jika berlaku insiden seperti orang lemas, dinasihatkan meminta pertolongan dan pastikan pandai berenang serta memakai jaket keselamatan sebelum melakukan penyelamatan.

    Sentiasa mengetahui keadaan air dan arus karau, jika masuk ke dalam arus deras jangan panik apungkan badan keluar dari arus tersebut dan berenanglah ke sisi untuk keluar dari lingkungan arus dan berenanglah ke daratan. Manakala kepada pengusaha-pengusaha perahu tambang, nelayan dan sebagainya diingatkan untuk sentiasa memakai jaket keselamatan termasuk penumpang dan memasang lampu semasa waktu malam atau ketika keadaan cuaca gelap.

    Jika berlakunya sebarang kecemasan hubungi terus talian kecemasan 995 JBP.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda