Friday, March 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa waspada terhadap penyalahgunaan nama, logo BDCB

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Berikutan imej sijil Shariah Compliant Banking Certificate yang kononnya dikeluarkan oleh BDCB dan memperakui pemerbadanan syarikat itu di Brunei Darussalam, BDCB dengan ini menegaskan bahawa sijil berkenaan adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh BDCB.

    Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sijil palsu kononnya dikeluarkan oleh BDCB.

    Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk sentiasa berwaspada terhadap penyalahgunaan nama dan logo BDCB untuk tujuan memperdaya orang ramai.

    Pihak BDCB juga menekankan sesiapa yang menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB tanpa kebenaran bertulis atau menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB yang serupa atau menyerupai nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB yang bertujuan sama ada untuk memperdaya, menipu, menyebabkan kekeliruan atau berkemungkinan untuk memperdaya, menipu, atau menyebabkan kekeliruan adalah merupakan kesalahan di bawah Bab 74A Perintah Brunei Darussalam Central Bank, 2010, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi $20,000, penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

    Dalam pada itu, BDCB menasihatkan orang ramai untuk tidak berurusan dengan sebarang entiti yang tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan kewangan.

    Orang ramai juga dinasihatkan untuk hanya berurusan dengan bank-bank dan syarikat kewangan yang berlesen dengan senarai institusi kewangan yang dilesenkan oleh BDCB serta BDCB Alert List boleh didapati di laman web BDCB di www.bdcb.gov.bn.

    Orang ramai diseru untuk membuat laporan segera kepada Pasukan Polis Diraja Brunei di balai polis berhampiran, atau melalui 993 jika telah menjadi mangsa aktiviti kewangan yang tidak berlesen.

    Orang ramai juga boleh memaklumkan pihak BDCB mengenai sebarang entiti/individu yang disyaki menawarkan perkhidmatan kewangan tanpa lesen dengan menghubungi Isu Pengguna Kewangan, BDCB di 8380007 atau melalui e-mel fci@bdcb.gov.bn.

    BDCB akan terus mengutamakan kestabilan kewangan domestik dan mengutamakan perlindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di Negara Brunei Darussalam. BDCB, dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan, juga sentiasa memantau aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di negara ini.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda