Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentimen perniagaan Julai 2025 kekal positif

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan atau Business Sentiment Index (BSI) Negara Brunei Darussalam bagi Julai 2025.

    Indeks ini adalah berdasarkan kaji selidik ke atas kira-kira 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana, dan besar dari 11 sektor ekonomi, di semua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    BSI antara lain bertujuan untuk mengukur tahap sentimen/keyakinan perniagaan di negara ini dalam berbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja, dan kos menjalankan perniagaan.

    Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, indeks ini boleh digunakan sebagai salah satu petunjuk awal keadaan makroekonomi negara.

    BDCB dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini mengongsikan, indeks utama BSI, iaitu sub-indeks Keadaan Perniagaan adalah 50.3 bagi Julai 2025.

    Walaupun ini menunjukkan perkembangan, hasil kaji selidik menggambarkan landskap perniagaan yang berbeza-beza merentasi saiz dan sektor.

    Sentimen optimistik di bulan Julai secara amnya didorong oleh acara-acara berkaitan dengan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, serta projek-projek baharu daripada tawaran kontrak dan projek.

    Sentimen optimistik tersebut diimbangi oleh pandangan pesimistik di kalangan perniagaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang mengongsikan cabaran termasuk tekanan kewangan, ketidakpastian mengenai ketersediaan projek baharu, permintaan pengguna yang lemah, serta kelembapan bermusim bagi beberapa sektor.

    Indeks satu bulan ke hadapan telah menurun sedikit kepada 50.1, dan ini mencerminkan sentimen yang berbeza namun menunjukkan kecenderungan ke arah pandangan yang sedikit optimistik.

    Ini didorong oleh pelbagai faktor termasuk tempoh cuti persekolahan pada bulan Ogos yang akan memanfaatkan beberapa sektor, konvokesyen, kempen promosi, pelancaran produk baharu, dan pelaksanaan projek yang dijangka akan meningkatkan aktiviti perniagaan.

    Manakala, Sub-Indeks Pelaburan pula dicatat pada tahap 50.5 bagi Julai 2025, 50.4 untuk indeks satu bulan ke hadapan, dan 50.4 bagi tiga bulan ke hadapan.

     

    Gambar menunjukkan Indeks bagi Julai 2025. – GAMBAR SERAHAN BDCB

    Mengekalkan tren dari bulan-bulan sebelumnya, para peniaga terus melaporkan peningkatan tahap pelaburan berkaitan dengan projek-projek semasa dan yang akan datang, serta pengembangan kemudahan dan pembangunan infrastruktur.

    Walau bagaimanapun, sentimen optimistik ini secara lazimnya didorong oleh perniagaan besar, manakala perniagaan yang lain pula melaporkan tiada perubahan pada tahap pelaburan memandangkan ketidakpastian keadaan pasaran.

    Sementara Sub-Indeks Pengambilan Pekerjaan adalah 49.9 bagi Julai 2025 dan 50.2 bagi satu bulan ke hadapan.

    Walaupun sub-indeks bulan Julai secara amnya menunjukkan jangkaan pengurangan jumlah pekerja, penurunan ini didorong terutamanya oleh usaha sektor Minyak & Gas dan yang Berkaitan untuk meningkatkan kecekapan operasi serta penamatan kontrak bagi pekerja-pekerja asing.

    Beberapa sektor lain melaporkan rancangan untuk terus mengambil pekerja baharu untuk menampung keperluan projek akan datang, atau mengekalkan jumlah pekerja yang sedia ada.

    Memandang ke hadapan, prospek pengambilan pekerja kekal positif, didorong oleh keperluan tenaga kerja tambahan bagi menyokong projek baharu di masa akan datang serta menggantikan pekerja yang telah meletak jawatan.

    Sub-Indeks Kos Perniagaan dicatat pada tahap 49.5 bagi Julai 2025 dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan di mana sebahagian besar penurunan sub-indeks bulan Julai disebabkan oleh perniagaan dalam sektor Minyak & Gas, dan yang berkaitan menjangka kos operasi akan menurun disebabkan pengoptimuman kos dan selesainya aktiviti penyelenggaraan pada Jun 2025.

    Manakala perniagaan dalam sektor-sektor lain pula menjangka kenaikan kos operasi disebabkan oleh faktor-faktor seperti peningkatan aktiviti perniagaan, perbelanjaan berkaitan pekerja yang lebih tinggi seperti insurans perubatan, dan kos bahan mentah yang meningkat.

    Faktor-faktor yang sama juga dicatat bagi bulan seterusnya, termasuk perbelanjaan gaji yang lebih tinggi dengan jangkaan peningkatan jumlah pekerja pada bulan Ogos 2025, serta aktiviti penyelenggaraan tambahan berjadual untuk sektor Minyak & Gas dan yang Berkaitan.

    Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman web BDCB di www.bdcb.gov.bn. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda