Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentimen perniagaan kekal stabil

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan BSI Negara Brunei Darussalam bagi Mac 2025.

    Indeks ini adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih daripada 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar dari 11 sektor ekonomi, di kesemua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    BSI bertujuan untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan di Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja dan kos menjalankan perniagaan.

    Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, indeks ini boleh digunakan sebagai salah satu petunjuk awal keadaan makroekonomi negara.

    BDCB dalam kenyataannya terdahulu mengongsikan keterangan indeks yang nilai BSI ‘Atas 50’ merujuk kepada keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya; nilai BSI ‘50’ pula keadaan lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya dan nilai BSI ‘Bawah 50’ bermaksud keadaan yang merosot atau sentimen lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya.

    Gambar Freepik

    Indeks utama BSI, iaitu Sub-Indeks Keadaan Perniagaan adalah 49.9 bagi Mac 2025, mencerminkan pandangan pesimistik mengenai keadaan perniagaan berbanding bulan sebelumnya. Secara amnya, sebahagian besar sentimen pesimistik ini dipengaruhi oleh permintaan pengguna yang lebih rendah dan pergerakan projek yang lebih perlahan disebabkan waktu operasi yang lebih singkat sepanjang bulan Ramadan.

    Indeks keadaan perniagaan bagi satu bulan ke hadapan meningkat kepada tahap 50.3, menunjukkan keyakinan yang meluas dengan berakhirnya bulan Ramadan, ketibaan bulan Syawal serta jangkaan projek-projek baharu.

    Walaupun cabaran berkaitan cuaca dijangka masih menjejaskan sesetengah perniagaan, pengembalian semula waktu operasi biasa serta perbelanjaan berkaitan dengan Hari Raya Aidilfitri menjadi pendo-rong utama untuk merangsang pemulihan permintaan merentasi kebanyakan sektor.

    Manakala Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi Mac 2025, tempoh satu bulan ke hadapan, dan tiga bulan ke hadapan. Berdasarkan maklum balas kaji selidik, perniagaan dari pelbagai sektor mengekalkan pandangan pelaburan yang positif.

    Bagi Mac 2025, aktiviti pelaburan terutamanya tertumpu kepada pengisian semula inventori, pembelian mesin, penaiktarafan peralatan dan kerja-kerja pengubahsuaian untuk memenuhi permintaan selepas bulan Ramadan.

    Momentum ini dijangka akan berlanjutan ke April 2025 untuk menyokong projek-projek yang sedang berjalan serta jangkaan projek-projek baharu bagi bulan-bulan berikutnya.

    Memandang ke hadapan pada Jun 2025, perniagaan mengongsikan rancangan pelaburan mereka yang di antaranya berkaitan dengan acara-acara seperti Ekspo Pengguna dan Perdagangan yang ke-31 serta pelbagai projek yang akan datang, tertakluk kepada kelulusan kerajaan dan pengesahan daripada pelanggan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda