Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sentimen perniagaan September 2023 optimistik

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan adalah 50.1 bagi September 2023, di mana ia menunjukkan sentimen yang agak optimistik mengenai keadaan perniagaan di sektor swasta.

    Secara amnya, beberapa faktor yang menyumbang kepada sentimen berkenaan termasuk pemulihan permintaan bagi produk dan perkhidmatan selepas musim cuti persekolahan pada Ogos.

    Selain itu, perniagaan juga menjangka peningkatan secara keseluruhan dalam aktiviti perniagaan disebabkan jualan yang meningkat serta pelanggan dan projek-projek pembinaan baharu.

    Bagi Oktober 2023, Indeks Keadaan Perniagaan satu bulan ke hadapan berada di tahap 50.4, menunjukkan tahap sentimen yang lebih optimistik, disebabkan oleh jangkaan peningkatan tahap pengeluaran dan jualan hasil daripada kempen pemasaran dan promosi.

    Dapatan itu adalah daripada BSI Negara Brunei Darussalam bagi September 2023 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini.

    Gambar Freepik

    BSI adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi dari semua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi September 2023, 50.1 untuk satu bulan di hadapan dan 50.2 bagi tiga bulan ke hadapan di mana secara amnya ia menunjukkan para peniaga dijangka akan meningkatkan perbelanjaan pelaburan pada September 2023 dan bulan-bulan seterusnya.

    Ia adalah termasuk pembukaan cawangan baharu untuk pengembangan perniagaan, pengubahsuaian dan pembelian peralatan serta kelengkapan baharu. Sebahagian perniagaan juga mengongsi keperluan untuk membeli-belah banyak bahan dan peralatan berkaitan dengan projek serta tambahan inventori sebagai persiapan bagi musim pembayaran bonus gaji pada penghujung tahun dan sambutan perayaan yang akan datang.

    Sementara itu, Sub-indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.3 bagi September 2023 dan 50.2 bagi satu bulan ke hadapan di mana secara amnya, terdapat perancangan untuk meningkatkan jumlah pekerja pada September dan Oktober 2023.

    Para peniaga memerlukan tenaga manusia untuk pengembangan perniagaan, melaksanakan projek-projek baharu serta memberikan perkhidmatan kepada pelanggan baharu.

    Sub-indeks Kos Perniagaan adalah 50.3 bagi September 2023 dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan di mana secara amnya, kos menjalankan perniagaan dijangka akan meningkat bagi September 2023 dengan jangkaan peningkatan perbelanjaan berkaitan dengan pekerja terutama bagi pekerja baharu dan pembayaran kerja lebih masa.

    Secara amnya, para peniaga terus menghadapi kenaikan perbelanjaan disebabkan oleh beberapa faktor termasuk harga import dan kos bahan yang lebih tinggi, perbelanjaan projek serta kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan.

    Seperti bulan sebelumnya, sebahagian perniagaan mengongsi bahawa peningkatan pembayaran caruman majikan kepada Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) telah menyumbang kepada peningkatan kos perniagaan.

    Daripada segi sektor ekonomi, kebanyakan sektor mencatatkan sentimen optimistik pada September 2023 dengan lapan daripada 11 sektor menunjukkan tahap indeks melebih 50. Tiga sektor yang merekodkan sentimen optimistik yang tertinggi adalah sektor-sektor kewangan dan insurans, pembinaan dan perkhidmatan lain.

    Dari segi indeks mengikut saiz perniagaan, perniagaan bersaiz kecil, sederhana dan besar menjangka keadaan yang lebih baik bagi September 2023 berbanding bulan sebelumnya.

    Secara amnya, perniagaan rata-rata berpandangan positif dengan jangkaan peningkatan aktiviti perniagaan dan permintaan bagi produk dan perkhidmatan.

    Sementara itu, perniagaan bersaiz mikro melaporkan keadaan lebih kurang sama pada September 2023 berbanding bulan sebelumnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...