Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentuhan di sebalik lagu Kirana Pengantin Diraja

    Oleh Nurdiyanah R.

    Dalam suasana tanah air menyambut penuh kegemilangan Istiadat Perkahwinan Diraja antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar sejak 8 Januari lalu, terdapat satu hal yang lumrah turut menambah seri suasana, apabila dendangan ciptaan lagu-lagu khusus bagi kedua-dua mempelai pengantin diraja turut menyerikan corong-corong radio dan televisyen serta menerusi pelbagai saluran platform media sosial yang pastinya menyerlahkan lagi kemeriahan di sepanjang berlangsungnya majlis-majlis tersebut.

    “Inilah cara kami selaku rakyat jelata mengekspresikan kegembiraan bersama-sama meraikan majlis-majlis Istiadat Perkahwinan Diraja,” ujar Dayang Ismayah binti Haji Mohd Noor selaku penulis lirik bagi lagu ‘Kirana Pengantin Diraja’.

    Lagu beliau telah dinobatkan sebagai juara Peraduan Mencipta dan Menerbitkan Lagu Perkahwinan Diraja anjuran Radio Televisyen Brunei (RTB), baru-baru ini.

    Menurutnya lagi, lirik lagu tersebut turut memilih perkataan yang jarang didengar dan digunakan dalam kehidupan seharian demi memartabatkan dan mengukuhkan lagi Bahasa Melayu.

    “Antaranya ‘bumatara’ bermaksud angin, ‘bianglala’ bermaksud pelangi, ‘sahmura’ bererti permata atau berlian, ‘nirmala’ membawa maksud suci, ‘bahari’ merujuk kepada elok atau menarik rupanya, ‘juita’ itu cantik, ‘sujana’ bermaksud bijaksana dan kata ‘kirana’ pula membawa erti sinar,” katanya lagi.

    Bagai pinang dibelah dua…Istiadat Bersanding Pengantin Diraja di antara YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan YAM Pengiran Muda Bahar. – Gambar fail Muiz Matdani
    (Dari kiri) Krunn Muhammad, Suzan Maidin dan Miennan Yunos. – Gambar serahan Miennan Yunos).
    Dayang Ismayah selaku penulis lirik bagi lagu Kirana Pengantin Diraja. – Gambar serahan Miennan Yunos.

    Terdahulu komposer dan penyanyi lagu berkenaan, Awang Muhd Shahminan Mohd Yunos atau lebih dikenali dengan nama Miennan Yunos, menjelaskan beliau bersama Dayang Ismayah beserta dua penyanyi tempatan, Suzan Maidin dan Krunn Muhammad telah mula bergabung sebagai sebuah kumpulan ketika menyertai Peraduan Mencipta dan Menerbitkan Lagu bagi Istiadat Perkahwinan Diraja yang berlangsung pada tahun lepas.

    “Berkat adanya komitmen dan keserasian yang jitu dengan izin Allah SWT jua, kami pada tahun ini telah memperolehi rezeki dinobatkan sebagai juara dan ini merupakan pencapaian dua tahun berturut-turut. Dengan adanya penciptaan lagu ini, ia sebagai lambang ketulusan kami dalam menyumbang sedikit sebanyak sebagai rakyat untuk menyemarakkan dan memeriahkan lagi Istiadat Perkahwinan Diraja,” ujarnya yang juga selaku penyanyi bersama Suzan Maidin dan Krunn Muhammad bagi lagu tersebut.

    Mengimbas kembali proses penciptaan lagu, Dayang Ismayah menjelaskan, proses penciptaan lagu diketuai oleh Miennan Yunos yang bertindak sebagai pengumpul material telah menghubungi penulis lirik, penyusun muzik dan penyanyi bagi menetapkan penyusunan tarikh menghantar material yang diperlukan.

    “Kaedah yang digunakan kebanyakannya melalui aplikasi WhatsApp terutama dengan penulis lirik. Selepas selesai susunan muzik, proses rakaman awal suara dijalankan di EE Studio yang dibantu oleh Awang Hazwan.

    “Di situlah ketiga-tiga penyanyi mula membahagikan pecahan suara seperti solo, duet dan trio serta menerapkan bunyi harmoni suara juga mendapatkan lenggok yang diinginkan,” jelasnya.

    “Bagi Miennan, berkolaborasi bersama Suzan dan Krunn tidaklah susah kerana mereka antara penyanyi profesional yang memberi komitmen terbaik dari segi idea dan garapan vokal. Alhamdullilah gabungan ketiga-tiga penyanyi berjaya memberikan sentuhan lagu dengan suasana kemeriahan dan semangat bagi menyambut Istiadat Perkahwinan Diraja ini,” tambahnya.

    Dalam pada itu, Dayang Ismayah turut mengakui bukan mudah untuk menghasilkan sebuah lagu yang berkualiti dari segi melodi, lirik dan penyampaian oleh penyanyi lagu itu sendiri. Untuk pemilihan lirik lagu perkahwinan diraja kali ini, beliau terlebih dahulu memilih tema yang ingin dikemukakan iaitu seri atau sinar pengantin diraja.

    Setelah itu baharulah beliau mengumpul dan memilih bunyi perkataan yang sesuai.

    “Untuk lagu ini, saya mengaplikasikan teknik pantun yang banyak menumpukan perkataan yang berakhiran dengan bunyi vokal kerana bunyi vokal menampilkan bunyi merdu dan mendayu. Saya juga ada mengimplementasi gaya bahasa simbolik yang kaya dengan makna dan dapat memperindahkan lagi lirik yang dicipta,” ujarnya.

    “Satu perkara penting juga ialah memasukkan unsur perasaan iaitu menyusun perkataan-perkataan menjadi ayat secara penuh mengikut tema yang ditentukan. Susunan berkenaan perlu diteliti bagaimana perkataan atau ayat yang disusun boleh menjadi lebih realisitik atau dirasakan hidup dalam pemikiran pendengar,” tambahnya.

    Dayang Ismayah juga mengongsikan pengalaman bekerjasama dalam satu kumpulan seperti sebelum ini menjadikan mereka memahami cara setiap ahli kumpulan bekerja, memudahkan proses penghasilan lagu tersebut. Walaupun terdapat kekangan masa, mereka dapat mengatasi sedikit cabaran dengan jayanya.

    Beberapa perkara yang mereka amalkan semasa bekerja secara berkumpulan adalah dengan saling percaya, bersikap terbuka untuk mengemukakan sebarang cadangan dan menghormati ahli kumpulan.

    Di samping itu, Miennan Yunos turut merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga dengan menaruh harapan besar agar lagu berkenaan dapat melambangkan aura pengantin diraja dan menghidupkan lagi majlis istiadat tersebut.

    “Selain itu, kami juga berharap lagu ini dapat mewujudkan pembawaan yang positif kepada semua pendengar. Selain boleh menambah pengetahuan dari segi perkataan-perkataan yang baharu atau pernah didengar. Semoga usaha ini dapat memartabatkan lagi bahasa rasmi negara kitani iaitu Bahasa Melayu,” luahnya tulus.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda