Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentuhan halus hanji pada perabot

    SEOUL – Apabila hanji dimasukkan ke dalam resin epoksi, kertas menyerap cecair dan menjadi pejal dalam bentuk panel.

    Panelnya diukir dan disambungkan ke dalam perabot, manakala corak unik hanji dapat dilihat melalui permukaan lutsinarnya.

    Beginilah cara Son Sang-woo, seorang pereka perabot, membuat karyanya.

    Hanji ialah kertas tradisional Korea yang diperbuat daripada kulit pokok mulberi.

    Memandangkan tekstur kulit kayu dapat dilihat pada kertas, karya Son memaparkan corak dan kilauan yang unik.

    Apabila hanji dimasukkan ke dalam resin epoksi, kertas menyerap cecair dan menjadi pejal dalam bentuk panel. – ANN/The Korea Herald

    “Ramai orang ingin tahu apabila mereka pertama kali melihat karya saya. Disebabkan ia kelihatan berbeza daripada perabot lain, mereka tertanya-tanya tentang bahan dan di mana perabot itu dibuat,” kata Son.

    “Ia adalah satu kejayaan besar untuk merangsang rasa ingin tahu mereka. Mereka kagum dengan fakta bahawa hanji digunakan untuk membuat perabot dan ia membantu karya saya dikenali orang lain.”

    Pemikiran terdesak yang mendorong Son kepada idea untuk menggunakan bahan tradisional pada perabot, ujarnya.

    “Pada mulanya saya menggunakan kayu untuk membuat perabot. Bagaimanapun, saya rasa kreativiti saya sudah habis. Ketika saya memikirkan masa depan saya yang tidak pasti, melihat ke dalam kabus pada waktu subuh, satu idea terlintas di fikiran saya. Saya cuba menggambarkan kabus pada karya saya dengan hanji,” katanya.

    Son menekankan bahawa tradisi boleh menjadi sumber kreativiti, sama seperti ia membantunya keluar daripada keadaan terdesak.

    “Bukan semua karya saya adalah sesuatu daripada budaya tradisional. Tetapi saya sering mendapat inspirasi daripadanya. Imej daripada hanji seperti warna putih yang halus dan tekstur yang unik boleh digunakan dalam pelbagai karya,” kata Son.

    “Saya akan memerhatikan pelbagai kandungan tradisional Korea untuk mendapatkan idea dan mencipta perkara baharu,” tambahnya. – ANN/The Korea Herald

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda