Wednesday, March 26, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentuhan Kasih Ramadan untuk golongan memerlukan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Bersempena bulan suci Ramadan, perawat kecantikan tempatan dari Tatarias Pusat Belia Bandar Seri Begawan, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan telah mengadakan Program Sentuhan Kasih Ramadan, Rawatan Kecantikan Percuma dan Majlis Bersungkai Bersama Anak Yatim dan Golongan Kurang Berkemampuan, baru-baru ini.

    Program yang diadakan Ruangan Tatarias Pusat Belia bagi rawatan dan Kafe Pusat Belia bagi majlis berbuka puasa itu antaranya bertujuan untuk memberikan kegembiraan dan kasih sayang kepada anak-anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan dengan aktiviti yang bermanfaat serta suasana penuh kemesraan.

    Antara yang hadir ialah Setiausaha Agung Dewan Perusahaan dan Perniagaan Melayu Brunei (DPPMB), Haji Abdul Rahman bin Haji Sirat; mantan ahli Majlis Mesyuarat Negara dan juga mantan Penghulu Mukim Liang, Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin; dan ahli Majlis Perundingan Kampung Panchor Mengkubau, Hajah Mardini binti Haji Mohd Noor.

    Program turut diteruskan dengan Doa Tahlil yang dibacakan oleh Awang Abdul Manan bin Othman, diikuti dengan bersungkai bersama. Dengan adanya program sedemikian, pihak penganjur berharap acara tersebut dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan membantu golongan kurang bernasib baik, khususnya anak-anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan, serta menjadi ikutan ramai untuk memeduli anak-anak yatim mahupun yang kurang kemampuan dari segi ekonomi keluarga.

    Melalui program berkenaan, ia juga dihasrat agar dapat memberikan pengalaman positif kepada para peserta, di mana mereka dapat merasa dihargai, diberikan perhatian dan merasai manfaat rawatan kecantikan yang mungkin sukar mereka peroleh dalam kehidupan seharian.

    Perawat kecantikan tempatan dari Tatarias Pusat Belia Bandar Seri Begawan, semasa memberikan rawatan kecantikan percuma kepada anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN TATARIAS PUSAT BELIA BANDAR SERI BEGAWAN
    Sesi bergambar ramai dalam kalangan perawat kecantikan tempatan bersama anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan semasa majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN TATARIAS PUSAT BELIA BANDAR SERI BEGAWAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda