Oleh Nurdiyanah R.
SETIAP insan di dunia ini pasti memiliki kelebihan tertentu dalam menjalani liku-liku kehidupan. Tidak kira besar atau kecilnya sesuatu kelebihan yang dimiliki itu, ia tetap dikenali sebagai sebuah bakat.
Wujudnya sebuah bakat, boleh terlihat daripada hasil kreativiti pemikiran seseorang dan juga kebolehan yang ditemui dalam sesuatu bidang seperti seni lukis, watak lakonan, nyanyian, tarian, penulisan, dan sebagainya. Kesemua itu adalah salah satu anugerah Maha Pencipta yang tiada tandingannya di alam ini kepada setiap hamba-hambaNya.
Oleh itu, salah satu bidang yang berpotensi besar untuk diterokai dan dikembangkan majukan bagi generasi muda dalam kalangan belia ialah menceburi dunia industri kreatif yang mana ia meliputi pelbagai bidang animasi, perfileman dan rekaan tiga dimensi bahkan juga seni lukis atau rekaan
“Inilah salah satu platform bagi menghimpunkan artis-artis berbakat dalam seni industri kreatif seperti komik tanah air untuk membuktikan kepada masyarakat di negara ini bahawa mereka juga mempunyai kebolehan yang mampu mencapai tahap antarabangsa.
“Apa yang diharapkan dengan adanya pameran sebegini, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan semangat juang para penggiat seni lukis kreatif tanah air untuk mengasah bakat atau kebolehan yang mereka miliki secara positif,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh Dayang Wan Nur Zahidah binti Metussin selaku wakil pengurus semasa berlangsungnya kemeriahan sebuah pameran berkonsepkan seni lukis kreatif komik, Pameran Seni Komik Kami Urang Brunei Tahun 2019 yang julung kalinya diadakan di Galeri Seni Dermaga Diraja di ibu negara semasa ditemui Media Permata baru-baru ini.




Lebih 30 orang kartunis tempatan
Pameran anjuran BirdHouse Studio Brunei yang dibuka untuk kunjungan orang ramai selama lima hari bermula 19 sehingga 23 April lalu itu telah mengetengahkan seramai lebih 30 orang kartunis tempatan yang mempamerkan hasil lukisan kreatif mereka.
Penglibatan mereka bukan hanya memfokuskan seni lukis kreatif berkonsepkan komik bahkan ia juga meliputi rekaan lukisan dalam sesuatu rekaan karakter, persekitaran serta melalui sesebuah jalan cerita.
Terinspirasi dari legenda, mitos dan sastera KeBruneian
Semasa ditemui salah seorang artis seni lukis tanah air dalam bidang pereka karakter, ilustrator dan konsep ini, Awang Mohd Norhadi bin Ibrahim menjelaskan bahawa karya-karya yang dipamerkan lebih berkonsepkan wira-wira bercirikan legenda, mitos dan sastera keBruneian.
Salah sebuah lukisan berkonsepkan digital ilustrasi yang beliau ketengahkan ialah berkisar mengenai kisah legenda detik pertemuan Sultan Bolkiah dengan isterinya, Puteri Lela Menchanai semasa dalam pelayaran.
Seorang puteri yang cantik menawan itu dikatakan muncul dari buih lautan Sulu. Karya seni beliau pasti mampu mengajak para pengunjung bagi menggambarkan peralihan fikiran untuk melihat sekali gus membayangkan suatu peristiwa cerita rakyat yang pernah didengar suatu ketika dahulu.
Indahnya semangat dan nilai kekeluargaan
Sesebuah karya seni lukis pasti memiliki makna di sebaliknya yang mampu mewujudkan semangat positif dalam jiwa dan diri seseorang. Salah seorang penggiat seni lukis komik tanah air, Awang Khairul bin Haji Kamis atau dikenali sebagai Ngatun telah mencipta sebuah karya beliau pada tahun 2000 iaitu Bapa & Anak.
“Pernah terfikir suatu ketika dahulu bagaimana keadaan saya kalau tidak mempunyai pekerjaan suatu hari nanti jika memiliki seorang anak, pastinya akan menjadikan saya bagaikan seseorang yang tidak bertanggungjawab.
“Dari itulah terhasilnya karya seni lukis komik ini yang sememangnya bertujuan untuk membuka minda para pembaca untuk menjadi seorang insan yang menanai tanggungjawab besar dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat,” ujarnya dengan penuh harapan besar.
Di samping itu beliau yang sudah meminati dunia seni lukis ini sejak di bangku sekolah ini turut mengungkapkan perasaan terharu dan bersyukur di atas peluang ini yang mana ia secara tidak langsung mampu menaikkan semangat juang para penggiat seni kreatif komik ini untuk mencipta sesuatu yang lebih baik di masa akan datang dengan karya-karya terbaru.
Tebuan besi lambang semangat keBruneian
Selain itu, semangat juang insan seni lukis komik yang kini berusia 34 tahun ini jelas terlihat pada raut wajahnya sehingga telah menghasilkan karya lukisan komik, Tebuan Besi.
Awang Mohd Adi Farhan bin Othman yang telah meminati dunia seni kreatif komik ini sejak berusia 10 tahun ini telah menjelaskan bahawa karya itu tercipta pastinya mempunyai keistimewaan dan keunikan yang tersendiri lebih-lebih lagi dengan memuatkan ciri-ciri keBruneian. “Serangga tebuan melambangkan semangat negara dan warna kuning memberi simbol warna bendera rasmi dan kedaulatan negara. Manakala lembing besi itu pula merujuk kepada semangat perjuangan dalam mempertahankan keamanan dan kedamaian negara dari anasir-anasir yang kurang sihat,” jelasnya yang bergiat dalam seni lukis kreatif komik ini sejak lima tahun lalu.
Dengan itu, beliau turut menasihati kepada generasi muda yang baru berjinak-jinak dalam seni lukis ini agar tidak berputus asa bahkan jadikanlah pengalaman itu bagaikan sesuatu pengajaran untuk meraih prestasi kehidupan yang lebih baik.
Oleh yang demikian apa yang pasti setiap manusia memiliki kebolehan dan keistimewaan tersendiri yang boleh diterokai untuk mencapai kecemerlangan.
Dengan adanya bakat yang dimiliki, alangkah baiknya jika ia diasah dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya demi meningkatkan bukan sahaja prestasi diri bahkan juga keluarga dan masyarakat serta bangsa di negara yang dicintai ini.