NEW DELHI – Antima Kumari mengangkat salah seorang anak saudara kembarnya yang baru lahir, menempatkannya di antara dada terdedah bapanya, lalu membalut tubuh kecil itu dengan kain. Anak damit itu mendakap kulit bapanya dengan selesa.
Kumari tampil sebagai penjaga kepada pasangan anak damit kembar tersebut apabila kakaknya, Lilavati Devi, berasa lemah secara fizikal selepas bersalin dan tidak mampu menjaga kedua-duanya sendiri.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman mengurus anak damit, Kumari berjaya memberikan sokongan besar kepada kakaknya selepas mempelajari penjagaan anak damit baru lahir melalui satu program latihan.
Dia menggunakan teknik yang dikenali sebagai kangaroo mother care, iaitu kaedah sentuhan kulit ke kulit dalam tempoh yang panjang antara anak damit dengan ibu atau bapa.
Menerima inspirasi daripada cara kanggaru membawa anak mereka, teknik ini terbukti memberi manfaat kepada anak damit pramatang dan anak damit dengan berat lahir rendah dengan membantu mereka tidur dengan lebih lena serta menambah berat badan dengan lebih cepat.

Teknik ini merupakan sebahagian daripada panduan kepada ibu bapa dan keluarga dalam kemahiran asas penjagaan kesihatan ibu dan anak damit baru lahir bagi meningkatkan penjagaan di rumah.
Latihan tersebut ditawarkan di banyak klinik dan hospital kerajaan di India, di mana jurang sosial seperti tahap pendidikan ibu bapa, sokongan kewangan dan akses kepada penjagaan kesihatan boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan anak damit.
Kumari menghadiri sesi Care Companion Program untuk ibu bapa dan penjaga di sebuah hospital kerajaan di Gurugram, berhampiran ibu negara India, New Delhi.
KEMAHIRAN UNTUK ANAK DAMIT BARU LAHIR
Noora Health, sebuah pertubuhan bukan untung yang berpangkalan di India, menganjurkan sesi tersebut bagi melengkapkan ibu bapa dan keluarga dengan kemahiran yang diperlukan untuk menjaga anak damit baru lahir, termasuk panduan untuk bakal ibu dan penjaga.
Ia turut menyediakan sesi berkaitan pelbagai keadaan kesihatan, termasuk penjagaan jantung serta penyakit tidak berjangkit dan berjangkit.
Menurut Seema Murthy, ketua program Noora Health di India, organisasinya telah melatih berjuta-juta penjaga di India, Indonesia, Bangladesh dan Nepal, serta membekalkan mereka dengan sumber dan kemahiran yang diperlukan bagi sokongan perubatan dan emosi.
“Melatih ahli keluarga dalam bidang penjagaan kesihatan boleh terbukti amat penting apabila sistem kesihatan tertekan serta mengalami bebanan dan kekurangan petugas kesihatan menjadi perkara biasa,” kata Murthy.
“Kita perlu berusaha menjadi lebih cekap untuk menangani jurang kritikal ini,” tambahnya. – AP

