Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Sentuhan magis warga emas pukau peminat seni

    Oleh Yusrin Junaidi

    Tiada siapa yang menyangka, daripada bakat bertukang yang dimiliki kini menjadi sumber pendapatan bagi Awang Mohammad Ali bin Awang Enchi, 75, untuk meneruskan kehidupan seharian.

    Menurut warga emas yang berasal dari Kampung Sengkurong ini, walaupun bidang ini lazimnya diminati oleh golongan belia, usia bukanlah halangan untuk beliau memiliki kreativiti dan daya imaginasi yang tinggi dalam menghasilkan seni kraf tangan.

    “Pada saya bakat yang ada jangan dibazirkan. Buat apa yang kita suka dan tidak mustahil ia boleh membantu kita, contohnya seperti saya boleh menjana pendapatan dengan bakat yang dianugerahkan oleh Allah SWT,” jelasnya ketika ditemui penulis.

    Tambahnya, beliau terbabit dalam bidang seni ini sejak berada di bangku sekolah lagi dan sudah menghasilkan kira-kira lebih 200 karya lukisan daripada kayu dengan tema pemandangan untuk dijual, selain itu ada juga yang disimpan untuk dijadikan koleksi peribadi.

    Mengimbau semula detik pembabitan awal dalam seni kraf tangan, Awang Mohammad Ali mula mempelajari melukis dan seterusnya berpindah minat kepada kraf tangan dengan melihat dari laman media, Youtube mengenai seni ukir kayu dari pelbagai negeri.

    “Disebabkan minat ini, hampir setiap hari saya bertukang, mencari kayu palet untuk dijadikan bahan untuk lukisan kayu saya.

    Awang Mohammad Ali ketika ditemui Media Permata semasa Hari Bakarih Yayasan, baru-baru ini.
    Bagi tujuan komersial, Awang Mohammad Ali, mempraktikkan penggunaan kayu palet yang bersifat lebih ringan dan lembut untuk menghasilkan produknya.

    Menurut Awang Mohammad Ali, beliau lebih gemar menghasilkan gambar yang memiliki latar berlakang sesebuah negara.

    “Saya lebih gemar menghasilkan gambar kayu yang memiliki latar belakang sesebuah negeri seperti bangunan World Trade Centre, Masjid SOAS, bangunan terkemuka di Singapura, Kapal Titanic dan sebagainya. Hampir keseluruhan gambar yang saya hasilkan menggunakan kayu kerana ia akan mencantikkan lagi lukisan selain menarik dan boleh dikategorikan sebagai unik.

    “Bagi mendapatkan bentuk gambaran yang sama seperti di dalam gambar atau dalam imiginasi saya, proses menghasilkan lukisan benar-benar menuntut ketelitian. Namun dengan adanya kemahuan, setiap gambar boleh disiapkan dalam masa dua hari sahaja,” katanya yang menjual lukisannya dengan harga antara $100 hingga mencecah kepada $2000.

    Produk ukiran lebih komersial

    Mahu tampil berbeza daripada produk usahawan sedia ada, Awang Mohammad Ali memastikan rekaan produknya memenuhi permintaan pelanggan dengan mengambil kira cita rasa dan trend terkini.

    Bagi tujuan komersial, beliau mempraktikkan penggunaan kayu palet yang bersifat lebih ringan dan lembut untuk menghasilkan produknya.

    “Kayu lain juga pernah digunakan terutama yang berkualiti namun harganya memang berbeza dan mungkin tidak semua golongan mampu untuk membelinya walaupun minat, jadi saya menggunakan kayu yang lebih murah dan lebih praktikal supaya boleh dijual lebih murah,” katanya sambil menyatakan tidak mempunyai masalah untuk memenuhi permintaan khas pelanggan yang mahu menggunakan kayu lain serta ukiran seni halus jika bersetuju dengan harga ditawarkan.

    Galas aspirasi kekalkan minat

    Menolak persepsi bahawa produk kayu tidak lagi mendapat tempat di hati golongan muda, Awang Mohammad Ali berkata permintaan ukiran kayu untuk hiasan dalaman rumah daripada bahan kayu itu amat memberangsangkan.

    Jelasnya, selaku pengamal seni kraf tangan daripada golongan warga emas, beliau juga mampu membawa aspirasi untuk menerapkan idea baharu dalam rekaan dan memberi inspirasi kepada belia. Beliau juga bersedia mengongsikan ilmu kepada yang berminat dan sangat berkeinginan untuk membuka sebuah akademi atau kelas khas untuk seni berkenaan.

    “Golongan muda patut mempertahankan seni ini dengan menjadi perintis dan terus mempergiatnya,” ujarnya.

    Dengan berbekal pengalaman dan idea kreatif, beliau berharap pihak tertentu dapat membantu mengembangkan lagi produknya.

    Beliau percaya, dengan sokongan padu pihak tertentu, seni ini tidak akan dilupakan dan akan menjadi salah satu produk yang boleh dimodenkan dan berpotensi menduduki taraf sama seperti seni-seni kraf tangan moden lain pada masa kini.

    “Saya harap lebih ramai lagi golongan muda yang membuka mata untuk menceburi bidang kraf, selain berpotensi besar sebagai peluang perniagaan, saya anggap ia juga seruan dalam mempertahankan warisan negara,” mengakhiri temu bual bersama penulis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...