Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – “Nilai asas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti kemahiran tangan, kepakaran teknikal dan pengalaman praktikal tetap kekal relevan dan mustahak walaupun dunia kini bergerak pantas dalam arus Revolusi Industri Keempat”.
Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid di Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kali Ke-33, yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa dunia kini berada di ambang revolusi teknologi yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang telah mengubah landskap pekerjaan global dengan begitu cepat.
“Dalam keghairahan kita mengejar kemajuan teknologi, A.I. mungkin dapat meniru data, namun ia tidak dapat meniru sentuhan manusia, kreativiti, dan naluri menyelesaikan masalah dunia sebenar”.

“Inilah kekuatan sebenar TVET yang mampu melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berkemahiran tinggi, inovatif dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan,” ujarnya.
Beliau percaya IBTE telah menyediakan asas kukuh kepada graduan untuk menjadi peneraju dalam era Revolusi Industri Keempat yang menuntut inovasi serta kreativiti sebagai teras utama.
Dalam ucapannya turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan IBTE yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.
“Majlis konvokesyen bukan sekadar simbol kejayaan akademik, tetapi juga lambang kecekalan, kreativiti dan komitmen untuk terus melangkah ke hadapan,” jelas beliau.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, penjaga, pensyarah dan tenaga pengajar yang telah menjadi tulang belakang dalam kejayaan para graduan, dengan memberikan bimbingan, doa dan dorongan yang tidak putus-putus sepanjang pengajian.
“Kejayaan graduan yang diraikan hari ini adalah daripada usaha gigih, doa yang tidak putus, dan kasih sayang yang tulus daripada awda semua,” tambah beliau.


Yang Berhormat seterusnya menekankan kepentingan mengintegrasikan teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan, dalam sistem TVET bagi memastikan para graduan kekal relevan serta berdaya saing di pasaran kerja masa hadapan.
Namun, beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi tidak seharusnya menggantikan pengalaman pembelajaran tradisional, sebaliknya perlu memperkukuh pengalaman sedia ada.
“Gunakan AI sebagai alat bantu untuk menganalisis, mereka bentuk dan mempercepatkan pembelajaran, tetapi jangan sesekali meninggalkan latihan praktikal, pembelajaran berasaskan pengalaman dan nilai etika kerja,” tegas beliau.
Katanya lagi, pelajar masih memerlukan pembelajaran yang bersifat sosial, interaktif dan kreatif, kerana melalui bengkel, makmal dan projek sebenar inilah lahir kemahiran sejati yang membentuk insan berfikir, berinovasi dan berintegriti.
Dalam menyentuh aspek kelestarian, Yang Berhormat menekankan bahawa pendidikan TVET perlu turut memberi penekanan terhadap nilai kelestarian dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Kemahiran hari ini bukan hanya untuk membina masa depan yang produktif, tetapi juga masa depan yang lestari iaitu yang memelihara alam sekitar, mengoptimumkan sumber dan menyokong pembangunan mampan,” jelas beliau.

Beliau turut menyeru IBTE agar terus memperkasa program latihan yang menggalakkan pelajar mengamalkan nilai kelestarian melalui pendekatan inovatif, termasuk bidang tenaga boleh diperbaharui dan kejuruteraan hijau.
“Semoga IBTE dapat melahirkan bukan sahaja tenaga kerja yang berkemahiran, tetapi juga generasi yang berjiwa lestari dan mampu menjadi pemimpin dalam memacu pembangunan mampan negara,” ujarnya.
Yang Berhormat Menteri turut menyeru para graduan agar menjadikan pembelajaran sebagai perjalanan berterusan sepanjang hayat serta sentiasa memiliki keinginan untuk terus berkembang.
“Kemahiran teknikal mungkin membuka pintu kepada peluang, namun nilai-nilai murni, kemampuan menghadapi cabaran, menyesuaikan diri dengan perubahan dan memiliki growth mindset akan memastikan pintu itu kekal terbuka,” pesan beliau.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima anugerah khas tahun ini, sambil menyatakan harapan agar pencapaian mereka menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus cemerlang serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
“Awda adalah aset kepada negara. Jadilah pencetus perubahan yang membawa manfaat dan mencipta impak positif kepada masyarakat dan negara,” tambah beliau sebelum mengakhiri ucapan dengan doa agar kejayaan graduan menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang.

