Friday, December 13, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentuhan seni anyaman rotan etnik Penan di Lusong Laku

    Oleh Balkish Awang –

    BINTULU – Jarak dari Bintulu ke kawasan pedalaman Lusong Laku, Belaga lebih 200 kilometer, kira-kira 10 jam perjalanan, sesungguhnya teramat sangat mencabar.

    Dari bandar Bintulu ke Simpang Murum, Bakun, perjalanan lancar, mengambil masa sekitar tiga jam dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD), tidak termasuk lima jam menggunakan laluan bukan jalan biasa.

    Cabaran getir bermula untuk ke Lusong Laku yang walaupun hanya sejauh kira-kira 35 kilometer tetapi mengambil masa kira-kira lima jam kerana terpaksa meredah jalan balak yang bukan sahaja berselut tetapi berlopak dan berlubang, selain menyusuri tebing sungai dan kawasan curam.

    Di sepanjang perjalanan, sesekali kami dilibas reranting pokok dan ada juga kalanya terpaksa berpaut pada tempat duduk untuk mengelakkan daripada terjatuh akibat hentakan kuat 4WD yang kami naiki apabila melalui jalan yang sukar.

    Itulah antara pengalaman penulis serta empat lagi wakil media tempatan semasa mengikuti Program Media Turun Padang di Sarawak, anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) selama empat hari pada 27 hingga 30 Jun lalu.

    Pelbagai produk anyaman rotan yang telah dihasilkan seperti beg galas, sandang, sumpit serta tikar. – Bernama
    Peserta Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Mangorit Lingoi (kiri) dan Nyutai Awi (tengah) bersama pelbagai produk rotan hasil anyaman mereka ketika tinjauan foto Bernama di Lusong Laku. – Bernama
    Datuk ‘Ainu Sham Ramli (dua kanan) menyerahkan plak penghargaan sempena projek naik taraf Rumah Kraf Tangan Lusong Laku. – Bernama
    Antara rumah panjang yang didiami 600 penduduk Penan di Lusong Laku dengan keseluruhan 73 pintu terletak di tengahnya sebuah bengkel dan galeri kraf anyaman rotan atau dikenali Rumah Kraf Tangan Lusong Laku merupakan satu projek naik taraf di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Kraftangan Malaysia. – Bernama

    Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli turut menyertai rombongan bagi meninjau perkembangan komuniti kraf anyaman rotan etnik Penan.

    SENTUHAN ETNIK PENAN

    Program lawatan media bermula pada 29 Jun lalu apabila kami dibawa mengunjungi sebuah rumah panjang di Lusong Laku yang mempunyai 73 pintu dan dihuni oleh 600 orang terdiri daripada etnik Penan.

    Berikutnya, kami dibawa ke bengkel dan galeri kraf anyaman rotan atau dikenali Rumah Kraf Tangan Lusong Laku. Ia adalah satu projek naik taraf di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Kraftangan Malaysia yang dibangunkan pada tahun 2022, bagi membolehkan komuniti ini menghasilkan produk mereka.

    Sejurus memasuki laman bengkel, mata terpana melihat pelbagai produk anyaman rotan yang dihasilkan oleh wanita Penan ini yang kreatif menghasilkan beg galas, sandang, sumpit serta tikar.

    Di satu sudut kelihatan sekumpulan wanita Penan masing-masing anggun berkebaya dan memakai kalung kepala yang dianyam daripada rotan, tekun menganyam produk masing-masing.

    Mangorit Lingoi, 30, ketika ditemui memberitahu penulis, dia mula belajar menganyam sejak dari usia kanak-kanak dengan menghasilkan produk seperti beg yang bersaiz kecil dan kemudian kepada saiz besar.

    Suri rumah itu, antara 25 peserta PPKK berkata, mereka bukan sekadar menganyam, tetapi turut perlu ke hutan bagi mendapatkan bekalan rotan.

    “Setelah memperoleh rotan kami membuang kulit, mencuci kemudian membilasnya. Rotan juga perlu dijemur dan direbus. Untuk proses ini sahaja akan mengambil masa beberapa hari. Selepas itu baharulah anyaman boleh dibuat,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu yang mengambil masa satu hari untuk menyiapkan sebuah beg.

    Dalam tempoh sebulan Mangorit mampu menyiapkan kira-kira 20 buah Bakul Ajat (tradisional) dan selepas mendapat tunjuk ajar pihak Kraftangan Malaysia, dia juga mampu menghasilkan beg jenis kontemporari.

    CABARAN PEMASARAN

    Bercakap lebih lanjut tentang PPKK, ‘Ainu Sham berkata, program itu bertujuan meningkatkan lagi kemahiran asas para peserta PPKK etnik Penan agar produk yang dihasilkan lebih berkualiti daripada segi rekaan corak, bentuk, kemasan serta kehalusannya.

    PPKK, kata beliau diwujudkan pada tahun 2020, ketika pandemik COVID-19 sebagai satu usaha Kraftangan Malaysia membantu kumpulan sasar dalam kalangan suri dan belia yang tidak bekerja untuk menjana pendapatan seisi keluarga melalui kemahiran kraf.

    Menurut beliau, produk anyaman rotan mendapat permintaan yang tinggi di luar dan berharap komuniti Lusong Laku dapat memanfaatkan kemahiran serta pendedahan yang diberikan oleh Kraftangan Malaysia.

    “Sejak projek ini dimulakan, Kraftangan Malaysia turut memantau daripada segi pendapatan berdasarkan rekod laporan. Apa yang membanggakan purata pendapatan bulanan mereka, daripada purata RM1,100 tahun lepas meningkat kepada RM1,600 tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata, sehingga Mei lepas, Kraftangan Malaysia sudah mewujudkan 140 PPKK di seluruh negara termasuk 14 PPKK di Sarawak.

    Objektif utama Kraftangan Malaysia, katanya, mahu meningkatkan pendapatan komuniti Penan ini di samping mengkomersilkan produk-produk sentuhan tangan masyarakat berkenaan yang bernilai tinggi.

    DARI KOMUNITI KEPADA USAHAWAN

    Menurut ‘Ainu Sham, juga menjadi hasrat utama Kraftangan Malaysia untuk melahirkan usahawan yang mampu berdiri sendiri setanding usahawan lain biar pun mereka tinggal di kawasan pedalaman.

    Justeru, pihaknya sedaya upaya menyantuni golongan ini dengan membawa pakej merangkumi peluang pemasaran, penghasilan produk berkualiti berserta rekaan unik seterusnya mampu menembusi pasaran luar.

    Mengenai perancangan masa hadapan untuk etnik Penan, Kraftangan Malaysia akan senantiasa memberikan bimbingan berterusan agar komuniti berkenaan dapat menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti.

    “Di bawah projek ini (PPKK), selepas mereka sudah mahir dan mengeluarkan produk, kita akan bawa komuniti ini melakukan simulasi perniagaan di festival dan program promosi secara fizikal dengan menyediakan reruai jualan untuk golongan ini memasar dan menjual sendiri produk mereka secara bersemuka sekali gus dapat meningkatkan kemahiran keusahawanan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda