Seorang budak meninggal dunia dikaitkan dengan COVID-19

MARSEILLE, 15 MEI – Seorang budak berumur sembilan tahun telah meninggal dunia di Perancis akibat penyakit seakan-akan Kawasaki dan dipercayai berkait dengan koronavirus, menurut doktor hari ini, kematian pertama di negara itu ta- takala kematian kanak-kanak yang serupa sedang disiasat di New York dan London.

Budak itu meninggal dunia selepas ‘kecederaan saraf yang berkaitan dengan serangan jantung’, kata Fabrice Michel, ketua unit rawatan intensif pediatrik di hospital La Timone di bandar pelabuhan Mediterranean, Marseille.

Kanak-kanak tersebut, yang diuji positif menghidapi koronavirus, menerima rawatan di hospital selama tujuh hari dan meninggal dunia pada Sabtu, doktor memberitahu AFP.

Dalam tiga minggu kebelakangan, beberapa buah negara melaporkan kes kanak-kanak dijangkiti oleh penyakit radang dengan gejala yang serupa dengan penyakit yang jarang berlaku, penyakit Kawasaki. Para saintis percaya ia dikaitkan dengan COVID-19.

Hospital kanak-kanak di London berkata Rabu lalu bahawa seorang budak berusia 14 tahun yang tidak mempunyai masalah kesihatan telah meninggal dunia akibat penyakit itu dan telah diuji positif koronavirus.

Di New York, gabenor Andrew Cuomo berkata Selasa lalu bahawa tiga orang kanak-kanak di negara itu telah meninggal dunia dan lebih dari 100 kes sedang disiasat. – AFP