TOKYO, 19 NOV – Seorang mangsa maut dalam kebakaran besar yang turut merosakkan 170 bangunan di kawasan perumahan bandar Oita, Jepun, kata kerajaan negara itu, hari ini.
Pasukan bomba masih bergelut untuk memadam api di bandar selatan itu apabila api merebak ke kawasan pergunungan berhutan berdekatan.
Rakaman menunjukkan anggota bomba menyembur air ke arah api yang marak ketika ia memusnahkan rumah pada malam kelmarin, manakala penduduk dibawa ke pusat pemindahan sementara.
“Api menjulang tinggi sehingga langit bertukar merah. Angin pula kuat. Saya tidak sangka ia akan merebak sejauh ini,” kata seorang lelaki di bandar di pulau selatan Kyushu kepada penyiar awam, NHK.
“Saya menggigil kerana takut. Saya belum pernah melihat tiang api seperti itu,” kata seorang lelaki lagi.
Menurut kenyataan kerajaan wilayah, kira-kira 170 bangunan rosak dalam kebakaran yang tercetus lewat kelmarin, dengan 188 orang dipindahkan dari rumah mereka.
Pihak kerajaan turut mengesahkan seorang maut tanpa memberikan butiran lanjut, manakala NHK pula melaporkan polis yang mencari seorang lelaki berusia 76 tahun yang hilang telah menemui mayatnya di rumah.
Datuk Bandar Shinya Adachi yang melawat lokasi berkata, “situasi mungkin dapat dikawal hari ini, jika punca api dapat dipadamkan,” menurut Kyodo News.
Namun, “ia mungkin mengambil beberapa hari lagi untuk api dipadamkan sepenuhnya,” tambahnya.
Kebakaran merebak dengan cepat, mungkin disebabkan hujan yang sedikit, udara kering dan rumah kayu yang padat di kawasan itu, lapor NHK. – AFP

