Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seorang jemaah umrah dijangkiti MERS-CoV

    PUTRAJAYA, 1 Jan – Seorang lelaki disahkan dijangkiti penyakit Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

    Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berusia 55 tahun dari Selangor itu mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki sejurus tiba di tanah air pada 23 Disember lepas.

    Katanya pesakit mendapatkan rawatan di klinik berhampiran rumahnya sehari selepas itu dan menerima rawatan sebagai kes demam sebelum hadir ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada malam 28 Disember dan ditahan di wad hospital itu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    “Mengambil kira sejarah perjalanannya yang baru kembali daripada menunaikan umrah, ujian saringan MERS-CoV dijalankan dan didapati positif, masing-masing bagi ujian saringan yang dijalankan oleh Hospital Sungai Buloh pada 30 Disember serta ujian pengesahan yang seterusnya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 31 Disember,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini stabil.

    Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas kontak pesakit seperti anggota keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan sama, anggota kesihatan di fasiliti yang merawat serta kontak rapat dalam pesawat yang dinaiki pesakit.

    Amalan pencegahan dan kawalan infeksi kalangan anggota kesihatan juga ditingkatkan semua peringkat di samping pemantauan terhadap status kesihatan anggota kesihatan yang terlibat dalam mengendalikan kes berkaitan, katanya.

    Bagi mengelak kejadian jangkitan MERS-CoV, Noor Hisham menasihatkan orang awam yang mengerjakan umrah atau ingin melawat negara di rantau Timur Tengah supaya mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.

    Mereka juga dinasihatkan tidak mengunjungi kediaman atau institusi kesihatan yang terlibat dalam kejadian jangkitan wabak MERS-CoV di negara tersebut; mengelak melawat ladang haiwan atau menyentuh apa jenis haiwan khususnya unta serta mengambil iaitu memakan atau meminum sebarang produk mentah atau tidak dimasak dengan sempurna yang melibatkan unta. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda