Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seorang lagi didenda $5,000 tawar ‘dine-in’

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Seorang lagi pemilik restoran dihukum denda $5,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, kerana ingkar dengan arahan Kementerian Kesihatan untuk tidak menyediakan perkhidmatan ‘dine-in’ kepada orang awam.

    Denda diputuskan Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar terhadap Foon Swee Chung, 51, yang mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 62A (2) Akta Penyakit Berjangkit, Bab 204 kerana gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan kementerian pada 19 Mac 2020 untuk kesemua premis makanan supaya tidak menyediakan perkhidmatan ‘dine-in’ kepada pelanggan.

    Gagal membayar akan menyebabkan tertuduh menjalani hukuman satu bulan penjara. Tertuduh didakwa menyediakan perkhidmatan ‘dine-in’ kepada pelanggannya dari jam 6 pagi hingga 10 malam di restorannya di Mukim Kilanas pada 22 Mac, iaitu tiga hari selepas arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

    Siasatan mendapati tertuduh mengetahui mengenai arahan itu namun mengabaikannya. Pejabat Peguam Negara mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan Kementerian Kesihatan untuk kesemua premis makanan dan minuman supaya tidak menawarkan perkhidmatan ‘dine-in’ kepada pelanggan selaras dengan langkah-langkah lain yang diambil untuk mengekang penyebaran jangkitan virus COVID-19 di negara ini.

    Sesiapa yang gagal untuk mematuhi mana-mana arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan di bawah Akta Penyakit Berjangkit, boleh didakwa dan dikenakan denda sehingga $10,000 dan penjara enam bulan. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Siti, Nurjauinah binti Haji Kula.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda