Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Satu lagi kes yang telah disahkan positif COVID-19 telah meninggal dunia, pada hari ini.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan bahawa kes tersebut ialah seorang perempuan berumur 55 tahun.
“Mendiang telah mengalami masalah beberapa masalah kesihatan dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan jangkitan COVID-19,” jelas Yang Berhormat Dato semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Sehubungan itu, tambah beliau, jumlah keseluruhan kes kematian yang dicatatkan di Negara Brunei Darussalam yang disebabkan oleh COVID-19 kekal seramai 53 orang. Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
“Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi pemergiannya,” tambahnya.