Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seorang lagi suspek kes pukul OKU ditahan

    CHUKAI, 21 JAN – Polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat memukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, menjadikan jumlah mereka yang ditahan setakat ini kepada enam orang.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Wan Muhamad Ja’afar berkata lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan pada 1:50 tengah hari semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

    “Polis juga telah memperoleh perintah reman terhadap suspek sehingga Khamis ini (23 Jan),” katanya semasa dihubungi hari ini.

    Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dengan semua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun.

    Sementara itu, di PUTRAJAYA, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi kenyataan mengesahkan mangsa yang dipukul merupakan pemegang kad OKU kategori mental sejak 19 Mac 2023.

    JKM juga memaklumkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kemaman telah memberi bantuan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (KSP) kepada keluarga mangsa bagi membantu menstabilkan emosi mereka susulan kejadian itu.

    “JKM kesal dengan kejadian itu yang sangat tidak berperikemanusiaan dan di luar batas tatasusila kehidupan bermasyarakat yang diamalkan di negara ini,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda