Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seorang lagi wadar dihukum penjara

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Seorang wadar penjara yang baru-baru ini, menafikan dakwaan melanggar peraturan penjara telah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

    Ketua Majistret Pengiran Masni Pengiran Haji Bahar mengambil pendekatan keras terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Wadar 662 Azman Ilham bin Haji Mohd Noor.

    Mahkamah melihat bahawa peranan defendan bukan sekadar pengiring banduan tetapi juga menjaga keselamatan Jabatan Penjara.

    “Dia (defendan) gagal untuk menghargai sepenuhnya peranannya sebagai pegawai penjara,” ujar mahkamah.

    Azman Ilham melanggar peraturan penjara yang melarang perdagangan dengan banduan-banduan pada tiga kejadian antara Februari dan April 2019.

    Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza Pengiran Abdul Latiff memaklumkan mahkamah bahawa defendan telah menyampaikan surat-surat tanpa kebenaran sah antara seorang banduan lelaki di Penjara Maraburong, Wong Soon Teck dan seorang banduan wanita di Institusi Penjara Wanita, Jerudong, Rannie Labu.

    Kedua-dua banduan bekenaan adalah pasangan suami isteri dan sedang menjalani hukuman penjara di institusi penjara berasingan.

    “Defendan mengetahui bahawa kedua-dua banduan berkenaan suami isteri kerana sebelumnya dia telah mengiringi mereka ke mahkamah bagi kes masing-masing,” pendakwa raya memaklumkan.

    Defendan adalah suami kepada Wadar Wanita Siti Naemah binti Haji Lilah yang telah mengaku bersalah terhadap tiga dakwaan serupa pada Khamis lalu.

    Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza memaklumkan mahkamah bahawa perhubungan antara banduan dan keluarga mereka hanya dibenarkan mengikut peruntukan peraturan penjara. Surat-surat hanya boleh dihantar dan diterima menerusi Unit Rekod, Jabatan Penjara.

    Siasatan Biro Mencegah Rasuah mendedahkan bahawa sekitar Februari 2019, defendan didekati oleh Wong Soon Teck yang menyatakan bahawa dia memerlukan bantuan dalam menyampaikan sepucuk surat kepada isterinya.

    Beberapa hari kemudian, di sel penjara, Wong secara tersembunyi menyerahkan sepucuk surat melalui pagar besi. Defendan mengambil surat berkenaan dan menyembunyikannya dalam poket. Sebaik menamatkan kerja, dia membawa pulang surat berkenaan.

    Disebabkan isterinya ditempatkan di Penjara Jerudong, defendan menyerahkan surat berkenaan kepada isterinya untuk disampaikan kepada Rannie, yang dilakukannya.

    Rannie telah menulis surat balasan yang dibawa keluar oleh Siti Naemah dari Penjara Jerudong dan diserah kepada suaminya.

    Azman Ilham menanti beberapa hari apabila dia ditugaskan di sel penjara sebelum menyampaikan surat berkenaan kepada Wong.

    Pada April 2019, defendan menerima satu lagi surat daripada Wong untuk disampaikan kepada Rannie. Dia mengambil surat berkenaan dan menyerahkannya kepada isterinya. Surat berkenaan akhirnya disampaikan kepada Rannie.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda