Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seorang lelaki dijatuhi hukuman, dua dibebaskan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan setelah mengaku bersalah dan dua lagi dijadikan sebagai saksi serta dilepaskan tanpa syarat setelah terlibat dengan kegiatan kes curi yang dilaporkan pada 24 Mac lalu.

    Berikutan laporan tersebut, keanggotaan Tugas Khas Balai Polis Seria dengan kerjasama Ibu Pejabat Daerah Polis Belait telah menjalankan pencarian dan berjaya menahan tiga suspek iaitu Iskhandar Dzulkarnain bin Mohd Suffian, 22; Muhammad Nurkhairullah bin Abdullah, 18 dan Muhammad Salim bin Mohammad Azwandi, 29, bersama penemuan barang bukti berupa satu set televisyen.

    Iskhandar Dzulkarnain dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Penjara Maraburong bermula 28 Mac, manakala Muhammad Salim dan Nurkhairullah dijadikan sebagai saksi dan dilepaskan tanpa syarat setelah terlibat dalam kejadian pecah masuk di sebuah rumah di Jalan Keruak, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panaga, Seria.

    Kesemua suspek merupakan warga tempatan dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Ketiga-tiga mereka berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 380 (curi dalam rumah) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.

    Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan kepada orang awam bahawa pihak polis tidak teragak-agak dalam mengambil tindakan tegas dan akan menghadapkan sebarang individu atau kumpulan yang melibatkan diri dengan kegiatan jenayah ke muka pengadilan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda