BELURAN, 28 Dis – Seorang lelaki rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Barayong Torodong Telupid dekat sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Nurul Azlan Jamalludin berkata mayat mangsa yang dikenali sebagai Juni Ambilai, 44, ditemukan di ruang tamu rumah tersebut.
Azlan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10:10 malam dan menggerakkan sebuah jentera bersama empat anggota ke tempat kejadian dengan jarak sejauh 133 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan.
Katanya selain itu, sebuah lagi jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran turut membantu dalam operasi berkenaan.
Menurutnya operasi tamat pada 1.10 pagi tadi dan punca kejadian masih dalam siasatan. – Bernama