Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Kemalangan di kawasan selekoh tajam, Jalan Kampung Lumapas menghala ke Kampung Junjongan telah mengakibatkan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun cedera parah semalam.
Balai Polis Kampong Ayer menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 11:38 malam pada 25 Februari, yang melibatkan dua buah kenderaan.
Awang Jasmin bin Haji Timbang yang memandu sebuah kenderaan kompak mengalami cedera parah dalam kemalangan tersebut dan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), manakala pemandu kereta jenis SUV dipandu oleh Chin Teck Ming, seorang penduduk tetap Brunei Darussalam berusia 50 tahun, hanya mendapat cedera ringan dan masih menerima rawatan di hospital sama.
Perkara itu dijelaskan oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer, Inspektor Hamdan bin Mantol semasa sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat Daerah Polis Brunei Muara.
Menurutnya lagi, kemalangan bagaimanapun tidak melibatkan sebarang harta benda kerajaan dan siasatan awal mendapati Chin Teck Ming dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Punca kemalangan bagaimanapun masih dalam siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (1) memandu dalam keadaan mabuk yang boleh membawa hukuman denda $10,000 dan penjara dua tahun.
Beliau turut menasihatkan para pemandu agar berhati-hati ketika memandu cuaca hujan, tidak menggunakan telefon
bimbit semasa memandu dan memakai tali keledar keselamatan serta memandu mengikut had laju ditetapkan selain mematuhi arahan-arahan lalu lintas.
Sidang media itu turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Siasatan Lalu Lintas Daerah Polis Brunei Muara, ASP Nurul Faezah binti Mohd Faisal Al-Sufri.