Oleh Rahimi –
Beberapa tahun yang lepas, aku dipinjamkan untuk bertugas di sebuah kawasan yang jauh dari kawasan tempat tinggalku kerana kekurangan kakitangan.
Sebagai seorang juruteknik, waktu kerjaku tidak menentu, kadangkala siang dan kadangkala malam.
Aku lebih gemar untuk mengikut jalan pintas ke tempat kerjaku berbanding jalan biasa kerana tempoh perjalanannya lebih singkat.
Akan tetapi jalan tersebut begitu sunyi pada waktu malam dan hanya disirami cahaya lampu yang malap daripada beberapa kilang kecil dan kedai besi buruk disekitarnya.
Waktu syif malamku biasanya selesai dalam jam 3 pagi. Setiap kali aku pulang, aku akan melalui jalan tersebut.

Setiap kali apabila aku melintasi sebuah kedai besi buruk di situ, aku dapati ada seorang lelaki berbangsa Cina yang sudah agak berusia berkawal di kedai tersebut dan hanya duduk di suatu sudut berdekatan dengan tokong kecil di bucu bahagian bangunan tersebut selain ada beberapa ekor anjing yang dilepaskan di kawasan itu.
Memang setiap kali aku melintasi kawasan berkenaan, dia memang ada di situ dan tidak pernah sekalipun aku melihat dia berjalan-jalan atau duduk di tempat lain.
Bagiku mungkin dia takut, sebab itu dia duduk berdekatan dengan tokong tersebut.
Walau bagaimanapun dia adalah semangatku untuk melalui kawasan tersebut pada waktu malam kerana sekurang-kurangnya aku tahu masih ada orang di kawasan tersebut jika terjadi apa-apa kecemasan.
Suatu hari aku diarahkan oleh pihak syarikat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan barang-barang terpakai di bahagian stor tempatku bekerja.
Ada beberapa barangan yang perlu dibuang dan ada barangan yang boleh dikitar semula dan dijual. Aku teringat akan kedai besi buruk yang aku lintasi setiap hari itu.
Petang itu aku ke situ untuk berbincang tentang barang-barang yang hendak dilupuskan nanti.
Sambil kerani di kedai besi buruk ini meneliti senarai barang-barang yang hendak dilupuskan itu, aku dengan bersahaja membuka bicara.
“Uncle guard tu selalu masuk kerja jam berapa ya?”
“Uncle guard yang mana?” tanya kerani tersebut dengan keningnya yang berkerut.
Aku pun bercerita tentang lelaki tua yang seringkali aku lihat sewaktu aku pulang kerja itu.
Apa yang mengejutkan, kerani itu memberitahu bahawa tiada siapa di situ yang bekerja selepas jam 7 malam dan pagar luar akan dikunci. Yang ada hanyalah beberapa ekor anjing yang dilepaskan untuk mengawal kawasan tersebut.
Aku tersentak dan cuba meyakinkan kerani tersebut. Kerani tersebut memanggil beberapa rakan kerjanya dan rakan-rakannya juga menerangkan perkara yang sama. Aku terus buntu!
Sejak hari itu, aku tidak pernah langsung melalui jalan pintas tersebut pada waktu malam sehinggalah aku diarahkan kembali untuk bertugas di tempat asalku.
Bermacam-macam persoalan bermain di fikiranku sehingga kini.
Adakah lelaki tua yang ku lihat setiap malam itu benar-benar wujud atau ianya hanya imaginasiku sahaja. Wallahualam.