SELFOSS, 28 Dis – Polis di Iceland mengatakan seorang maut dan 12 lagi mengalami kecederaan kritikal semalam selepas sebuah bas membawa 45 pelancong China tergelincir dari jalan raya selepas melanggar bahagian belakang sebuah kereta.
Bank darah Iceland mengeluarkan peringatan bagi pendermaan darah jenis O ekoran kemalangan di Laluan 1, jalan kebangsaan di sekitar pulau itu.
Kemalangan kereta dan bas itu berlaku berhampiran lapangan lava Eldhraun, kira-kira 250 kilometer (155 batu) di timur Reykjavik, ibu negara Iceland. Polis mengatakan bas tersebut terbalik pada sisinya apabila ia keluar dari jalan raya, menyebabkan dua penumpang terperangkap, dan seorang maut di tempat kejadian.
Pemilik syarikat bas, Fjalar Ulfarsson mengatakan kumpulan itu berada pada lawatan hari keempat selama seminggu di Iceland semasa kemalangan itu terjadi.
“Jalan di sana sempit dan mempunyai beberapa lapisan ais yang terkumpul,” beritahu Ulfarsson kepada The Assosciated Press.
Tiga buah helikopter telah digunakan untuk membawa mangsa yang tercedera ke bilik kecemasan hospital di ibu negara.
Sebuah stesen bantuan telah dibina bagi 33 penumpang yang lain berdekatan perkampungan Kirkjubaejarklaustur. – AP