JACKSON, NEW JERSEY, 17 JULAI – Seorang lelaki maut manakala 13 lagi cedera selepas dipanah petir di sebuah laman memanah di New Jersey pada petang kelmarin, menurut pihak polis.
Ketua Polis Perbandaran Jackson, Matthew Kunz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai beberapa individu yang terkena panahan petir kira-kira jam 7:15 malam di Black Knight Bowbenders Archery Range, dengan seorang mangsa sedang diberikan bantuan pernafasan (CPR).
Mangsa berusia 61 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan, sementara seorang lagi dilaporkan tidak sedarkan diri.
Mangsa lain mengalami kesan terbakar dan pelbagai aduan kesihatan termasuk rasa tidak sihat secara umum, kata kenyataan tersebut. Mangsa termuda yang tercedera berumur tujuh tahun.
Kesemua mangsa telah dihantar ke hospital-hospital berdekatan untuk rawatan lanjut, namun keadaan mereka tidak didedahkan. – AFP


