HOUSTON, 11 NOV – Seorang terbunuh manakala 16 orang termasuk pelajar cedera dalam kejadian tembakan yang berlaku awal pagi Ahad di kampus Universiti Tuskegee, Alabama, Amerika Syarikat, lapor Xinhua.
Mangsa seorang remaja berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara 12 lagi cedera akibat terkena tembakan, menurut Biro Penyiasatan Negeri, Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Alabama.
Universiti Tuskegee dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa yang terkorban bukan pelajar universiti itu.
“Mangsa yang lain termasuk pelajar Universiti Tuskegee, mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan East Alabama di Opelika serta Hospital Baptist South di Montgomery,” menurut kenyataan itu.
Insiden berlaku ketika Universiti Tuskegee sedang meraikan Homecoming ke-100 pada Sabtu, semasa perlawanan bola sepak antara Tuskegee dan Miles College dari Alabama.
“Kami percaya terdapat dua penembak, mungkin lebih,” kata seorang pegawai melalui panggilan radio yang disiarkan oleh Broadcastify.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat petang Ahad, menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Alabama. – Bernama