BERLIN, 19 SEPT – Sebuah bas yang sedang dalam perjalanan melalui Austria terbabas dan terbalik, mengakibatkan seorang wanita terkorban dan 20 penumpang lain cedera, lapor agensi Austria, APA hari ini.
Kemalangan berlaku berhampiran perkampungan Micheldorf di negeri Carinthia di bahagian tengah Austria. Bas tersebut dalam perjalanan dari Berlin melalui Linz di Austria ke Trieste di utara Itali, dilaporkan oleh penyiar Austria, ORF.
Antara penumpang bas dua tingkat itu terdiri dari warganegara Austria, Jerman, Itali, Slovenia, dan Ukraine, mengikut laporan APA.
Wanita yang meninggal dunia itu adalah seorang remaja Austria berusia 19 tahun, lapor APA.
Kebanyakan yang cedera telah dibawa ke hospital di Friesach, manakala seorang penumpang cedera teruk iaitu seorang wanita Jerman berusia 25 tahun, telah dipindahkan ke hospital di Klagenfurt.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah, bas tersebut mungkin melanggar pagar penghadang konkrit dan terbalik, lapor APA.
Seramai 55 petugas kecemasan daripada beberapa jabatan bomba tempatan terlibat dalam operasi penyelamatan. – AP