MADRID, 8 JUN – Seorang lelaki berusia 93 tahun maut manakala 22 yang lain cedera akibat terhidu asap dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah rumah penjagaan warga emas di timur laut Sepanyol, menurut kenyataan pihak berkuasa kelmarin.
Kebakaran itu tercetus lewat malam Jumaat di sebuah bilik di aras bawah rumah penjagaan yang terletak di bandar Zaragoza, timur laut negara itu, menurut perkhidmatan kecemasan tempatan menerusi laman sosial X.
Menurut Datuk Bandar Zaragoza, Natalia Chueca, dua lelaki tinggal di bilik berkenaan, termasuk mangsa yang meninggal dunia yang merupakan seorang OKU dan tidak dapat menyelamatkan diri.
Seramai 22 individu yang lain telah dibawa ke hospital akibat mengalami kecederaan pelbagai tahap akibat terhidu asap, termasuk seorang lelaki berusia 46 tahun yang tinggal berdekatan dan menyertai usaha menyelamat, kata perkhidmatan kecemasan.
Beberapa penduduk tempatan memberitahu media bahawa mereka turut membantu pasukan bomba menyelamatkan penghuni rumah penjagaan tersebut, termasuk mengeluarkan mangsa melalui tingkap yang dipecahkan.
“Kami nampak asap dan terus ambil tindakan. Kami pecahkan tingkap dengan tukul, kapak, kerusi dari bar – apa sahaja yang ada,” kata seorang penduduk tempatan, Jesus Vadorrey kepada stesen televisyen serantau, Aragon TV.
“Ia sangat menyeksakan kerana kaca itu sangat tebal dan orang di dalam sudah hampir lemas.”
Ketua kerajaan wilayah Aragon, Jorge Azcon, merakamkan penghargaan kepada orang awam atas bantuan mereka, sambil berkata bahawa tanpa bantuan tersebut “kemungkinan kita akan berdepan jumlah korban yang lebih besar daripada hari ini.” – AFP


