BAGHDAD, 26 DIS – Seorang anggota tentera pro-Iran di Iraq dilaporkan terkorban dan 24 lagi cedera dalam satu serangan hari ini, berikutan Amerika Syarikat (AS) berkata ia telah melakukan serangan balas di negara itu, menurut sumber keselamatan.
Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri Iraq berkata, serangan itu menyasarkan tapak Hashed al-Shaabi di pusat bandar Hilla, satu daripada dua lokasi yang disasarkan di wilayah Babylon.
Seorang terbunuh dan 20 cedera, manakala empat lagi cedera dalam satu lagi serangan di wilayah selatan Wassit, kata pegawai itu. Dua sumber keselamatan di wilayah Babylon dan Wassit memberikan maklumat yang sama.
Beberapa jam sebelum itu, AS berkata tenteranya telah melakukan serangan ke atas tiga tapak yang digunakan oleh kumpulan pro-Iran di Iraq sebagai tindak balas kepada beberapa siri serangan ke atas kakitangan AS.
Tentera AS telah berulang kali menyasarkan tapak yang digunakan oleh Iran dan pasukan proksinya di Iraq dan Syria sebagai tindak balas terhadap puluhan serangan ke atas tentera Amerika dan sekutunya di rantau itu sejak meletusnya perang Israel-Hamas pada 7 Oktober lalu.
“Pasukan tentera AS melakukan serangan yang perlu ke atas tiga kemudahan yang digunakan oleh Kataeb Hizbollah dan kumpulan bersekutu di Iraq,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dalam satu kenyataan. – AFP