ROM, 19 OGOS – Seorang maut ketika penyelamat berusaha mencari enam lagi yang hilang selepas sebuah kapal layar mewah karam semasa ribut yang berlaku secara tiba-tiba di pantai Sicily Itali, kata pegawai.
Bot itu membawa 22 penumpang, termasuk 10 anak kapal, kata pengawal pantai. Majoritinya adalah warga British, menurut media Itali.
Seramai 15 orang telah diselamatkan, kata pegawai, termasuk, menurut laporan media tempatan, seorang ibu dan anak damitnya.
“Pagi ini sekitar jam 5 pagi, berikutan ribut kuat, sebuah kapal layar sepanjang 56 meter bernama Bayesian, mengibarkan bendera Britain, karam berhampiran Porticello,” kata pengawal pantai Itali dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelamat yang disokong oleh helikopter yang menyelusuri perairan menemui satu mayat pada hari ini, kata pengawal pantai.
“Satu mayat ditemui dalam bangkai kapal itu tetapi belum diambil, pada kedalaman sekitar 50 meter,” kata jurucakap kepada AFP.
Terdahulu, pengawal pantai berkata bahawa empat warga Britain, dua warga Amerika dan seorang Kanada dilaporkan hilang, katanya.
Menurut media, kapal layar itu berlabuh kira-kira 700 meter dari pelabuhan Porticello apabila ia dipukul oleh sengkayan, yang secara kasarnya menyerupai puting beliung kecil di atas badan air. – AFP