LOS ANGELES, 13 SEPT – Seorang penduduk Los Angeles dengan sistem imun terjejas, meninggal dunia akibat cacar monyet semalam.
Menurut pegawai kesihatan tempatan, mangsa dipercayai adalah kematian pertama di Amerika Syarikat (AS) akibat penyakit itu.
Jabatan Kesihatan Awam Los Angeles mengumumkan punca kematian dan jurucakap berkata, ia disahkan melalui bedah siasat.
Pesakit mengalami gangguan imun yang teruk dan dimasukkan ke hospital. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menjejaki kes dan belum mengesahkan sebarang kematian di AS akibat penyakit itu.
Pegawai daerah LA memaklumkan, mereka bekerjasama dengan CDC dalam kes terbabit. Jurucakap CDC mengesahkan kerjasama itu, namun tidak menjawab apabila ditanya sama ada itu adalah kematian pertama AS. Pegawai kesihatan awam Texas pada 30 Ogos lalu, melaporkan kematian seorang yang didiagnosis dengan cacar monyet. – AP
