NEW DELHI, 30 Mei – Seorang maut dan empat yang lain cedera selepas lelaki yang tidak dikenali melemparkan sebuah bom dalam kedai perubatan di negeri timur laut India, Nagaland, kata polis hari ini.
Letupan itu berlaku petang Isnin di sebuah kedai perubatan di jalan Church di daerah Dimapur, kira-kira 68 km barat Kohima, ibu negeri Nagaland.
“Petang lepas beberapa orang yang tidak dikenali melemparkan bom di dalam kedai menjual ubat-ubatan. Bom itu meletup dan mencederakan tiga jurujual dan dua pelanggan di kedai ini,” kata seorang pegawai polis. “Daripada mereka yang tercedera, seorang telah meninggal dunia akibat luka di hospital dan selebihnya empat orang masih di dalam rawatan.”
Mangsa yang dibunuh, menurut polis, telah datang ke kedai untuk membeli ubat-ubatan.
Polis telah mendaftarkan kes tersebut dan memulakan penyiasatan terhadap letupan itu.
“Kami telah memulakan siasatan letupan untuk mengetahui sebab-sebab dan motif di sebalik itu,” kata pegawai polis.
Pemberontakan bersenjata sedang berlaku di Nagaland selama lebih daripada 60 tahun dengan pemberontak berjuang memerangi tentera India bagi kemerdekaan tanah air mereka. – Xinhua