AMSTERDAM, 14 OGOS – Seorang maut dan lima lagi cedera dalam kemalangan belon udara panas di wilayah Friesland, utara Belanda, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Jurucakap pihak berkuasa keselamatan wilayah memberitahu radio Belanda bahawa insiden berlaku semalam ketika belon itu cuba mendarat berhampiran kampung De Hoeve.
Terdapat 34 orang di dalam belon berkenaan, termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang. Tiga daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan serius di hospital.
Menurut pihak berkuasa, belon itu bersiap untuk mendarat di sebuah kawasan lapang berhampiran kampung tersebut apabila tiba-tiba diterbangkan oleh tiupan angin kencang.
Saksi memberitahu media bahawa bakul belon itu menghentam tanah beberapa kali sebelum diseret beberapa meter.
Jurucakap pihak berkuasa keselamatan mengesahkan laporan tersebut dengan menyatakan situasi itu menimbulkan keadaan panik.
Perkhidmatan kecemasan segera dimaklumkan, dengan ambulans dan dua helikopter dikerahkan. Lima mangsa dibawa ke hospital, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis telah melancarkan siasatan berhubung insiden itu. – Bernama


