BERLIN, 24 JUN – Angin kencang dengan kelajuan 108 kilometer sejam yang melanda Berlin pada Isnin, menyebabkan pokok tumbang, jalan raya terhalang dan sekurang-kurangnya satu kematian, menurut jurucakap bomba bandar itu yang menerima kira-kira 500 panggilan kecemasan, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Mangsa maut setelah sebatang pokok tumbang menimpa keretanya. Akhbar BZ melaporkan mangsa ialah seorang wanita di utara Berlin. Perkhidmatan tren antara Berlin dan Hamburg turut terhenti selama beberapa jam.
Kelajuan angin dicatatkan oleh Perkhidmatan Cuaca Jerman di Universiti Bebas Berlin berada pada tahap 11 atau bersamaan kekuatan ribut, menurut jurucakap. Angin kencang melebihi 100 kilometer sejam turut direkodkan di Berlin-Tempelhof, lokasi bekas lapangan terbang.
Di Lapangan Terbang Brandenburg Berlin (BER), penerbangan turut terganggu menurut maklumat lapangan terbang, namun tidak dinyatakan sama ada cuaca menjadi puncanya.
Kecederaan serius turut dilaporkan akibat pokok tumbang yang menimpa kenderaan dan dahan jatuh ke atas pejalan kaki, termasuk seorang yang berada di hutan bandar dan terpaksa dikejarkan ke hospital oleh helikopter penyelamat.
Perkhidmatan rangkaian komuter S-Bahn Berlin turut tergendala, yang disahkan pengendali Berlin S-Bahn. Menjelang 9:30 malam, hanya dua laluan S-Bahn kembali beroperasi secara terhad. – Bernama


