LIMA, 16 JUN – Satu gempa bumi bermagnitud 6.1 menggegarkan Peru kelmarin, menyebabkan seorang maut dan mencetuskan kejadian tanah runtuh, menurut pihak berkuasa.
Gempa tersebut berlaku sebelum tengah hari dan berpusat kira-kira 30 kilometer dari Callao, sebuah bandar pelabuhan bersebelahan ibu negara Lima, menurut Pusat Seismologi Nasional Peru. Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula mencatatkan magnitud gempa itu pada 5.6.
Pihak berkuasa Peru menyatakan bahawa gegaran tersebut tidak mencetuskan sebarang amaran tsunami.
Seorang lelaki maut di Lima apabila sebatang dinding runtuh dan menimpa kereta yang dipandunya, menurut Polis Negara Peru.
Pusat Operasi Kecemasan turut melaporkan lima individu cedera di ibu kota.
Presiden Peru, Dina Boluarte, menyeru rakyat agar bertenang dan menegaskan tiada amaran tsunami dikeluarkan untuk pesisir pantai negara itu di Lautan Pasifik.

Saluran televisyen tempatan, Latina, menyiarkan rakaman kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan di sekitar bandar Lima.
Gegaran itu turut menyebabkan penangguhan satu perlawanan bola sepak utama yang sedang berlangsung di ibu kota.
Peru, yang mempunyai 34 juta penduduk, terletak di Lingkaran Api Pasifik – satu zon yang terkenal dengan aktiviti seismik dan gunung berapi yang tinggi.
Negara itu mencatatkan purata sekurang-kurangnya 100 gempa bumi yang dapat dikesan setiap tahun.
Gempa besar terakhir berlaku pada tahun 2021 di wilayah Amazon, dengan magnitud 7.5, mengakibatkan 12 orang cedera dan lebih 70 rumah musnah.
Gempa paling dahsyat dalam sejarah Peru berlaku pada tahun 1970 di wilayah Ancash di utara, yang mengorbankan kira-kira 67,000 nyawa. – AFP