Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seorang maut semasa perhimpunan anti Ortega

    MANAGUA, 24 Sept – Satu serangan ke atas penunjuk perasaan oleh penentang Presiden Nicaragua, Daniel Ortega telah menyebabkan seorang terkorban dan sekurang-kurangnya lima yang lain cedera, menurut polis semalam.

    Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Max Romero, yang meninggal akibat kejadian ‘tembak-menembak’, kata polis dalam satu kenyataan mengenai kematiannya.

    Kekacauan yang memuncak beberapa bulan ini di negara Amerika Tengah itu telah menyebabkan lebih daripada 320 orang terkorban, menurut kumpulan hak asasi. Meskipun perhimpunan tunjuk perasaan berkurangan beberapa minggu ini, ia berlaku semula kelmarin menggesa bagi pembebasan tahanan politik.

    “Saya ditembak dan cedera oleh paramilitari Daniel Ortega,” kata seorang penunjuk perasaan yang berusia 41 tahun, tercedera pada lengannya dan tidak mahu namanya didedahkan kepada AFP.

    Manakala, Bryan Garcia, 15, yang terkena tembakan peluru berkata: “Ia adalah (tindakan) oleh paramilitari, mereka mencederakan saya di leher berhampiran bahu saya.”

    Antara mereka yang cedera adalah seorang wartawan dari saluran 100% Noticias, Winston Potosme yang cedera di bahagian tangan.

    Perarakan yang digelar ‘Kami adalah suara tahanan politik,’ diselenggarakan susulan sekurang-kurangnya 500 orang penunjuk perasaan telah dipenjara akibat menyertai demonstrasi antikerajaan yang bermula pada 18 April lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda