Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seorang maut, sembilan cedera dalam kebakaran hutan di Selatan Perancis

    LAGRASSE/PERANCIS, 6 OGOS – Seorang wanita maut manakala sembilan yang lain cedera dalam insiden kebakaran hutan di selatan Perancis yang telah memusnahkan 11,000 hektar kawasan, menurut seorang pegawai hari ini.

    Kebakaran yang bermula pada petang kelmarin itu telah memusnahkan dan merosakkan 25 buah rumah di wilayah Aude, kawasan pedalaman yang terletak berhampiran Laut Mediterranean.

    Manakala, seramai 1,500 anggota bomba telah dikerahkan untuk memadamkan kebakaran tersebut.

    Menurut prefektur Aude, seorang wanita maut di kediamannya dan dua orang lagi cedera, termasuk seorang yang kini dalam keadaan kritikal akibat melecur teruk.

    Tujuh anggota bomba turut mengalami kecederaan, dua daripadanya dimasukkan ke hospital. Seorang individu dilaporkan masih hilang.

    “Kebakaran sedang merebak di kawasan yang mempunyai semua faktor yang memungkinkan ia terus marak. Kami sedang memantau bahagian tepi dan belakang kawasan terbakar bagi mengelakkan kebakaran berulang,” kata Setiausaha Agung Prefektur Aude, Lucie Roesch.

    Beliau berkata pasukan bomba dijangka menerima bantuan dari udara seawal waktu subuh, namun beliau turut memberi amaran, operasi itu akan mengambil masa yang panjang.

    Bagaimanapun, kemaraan api dilaporkan perlahan sepanjang malam berikutan tahap kelembapan yang tinggi.

    Kawasan perkhemahan dan sebuah kampung telah dipindahkan sebahagiannya, manakala beberapa jalan raya tempatan ditutup kepada umum.

    “Semua sumber negara telah digerakkan,” kata Presiden Perancis Emmanuel Macron menerusi platform X , sambil menyeru orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya.  – AFP

    Kenderaan terbakar kelihatan akibat kebakaran hutan yang berlaku di Saint-Laurent-de-la-Cabrerisse, selatan barat Perancis, pada 6 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda