NEW DELHI, 22 FEB – Seorang petani muda maut dan beberapa lagi cedera kelmarin selepas polis melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah petani yang berarak di negeri Haryana di utara India, kata pegawai.
Kejadian berlaku di Khanauri, sempadan antara Punjab dan Haryana, kira-kira 121 kilometer dari ibu negara New Delhi.
Menurut polis, lelaki berusia 20 tahun yang dikenali sebagai Shubhkaran Singh itu terbunuh akibat tindakan polis tersebut, satu pertuduhan disangkal oleh polis di Haryana.
“Tiga pesakit telah datang kepada kami dari Khanauri. Seorang daripada mereka maut semasa ketibaan, dua lagi stabil dan nampaknya mengalami kecederaan peluru tetapi ia tidak dapat disahkan,” kata pegawai perubatan kanan Hospital Rajendra di Patiala, Rekhi.
“Mangsa yang terkorban semasa ketibaan mengalami kecederaan peluru di kepala, tetapi butiran lanjut seperti saiz peluru hanya boleh disahkan selepas bedah siasat.”
Ketua Menteri Punjab, Bhagwant Mann, mengesahkan kematian itu.
Polis juga melepaskan berpuluh-puluh peluru asap pemedih mata di satu tempat sempadan Shambhu berhampiran daerah Ambala untuk menghentikan perarakan petani.
Para petani meneruskan perarakan mereka ke New Delhi kelmarin selepas menolak cadangan kerajaan untuk membeli tanaman kacang, jagung dan kapas daripada petani pada harga minimum untuk lima tahun akan datang sebagai tawaran untuk menamatkan protes yang berterusan.
Kerajaan persekutuan India kelmarin menggesa petani untuk mengekalkan keamanan dan berkata ia bersedia untuk mengadakan rundingan pusingan kelima untuk mencari penyelesaian. – Xinhua
