KINSHASA, 25 Feb – Seorang maut dan empat yang lain cedera ketika anggota polis melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata kepada kumpulan penunjuk perasaan yang membuat protes terhadap kerajaan Republik Demokratik Kongo hari ini.
Protes itu berlaku berikutan ketegangan beberapa bulan yang tercetus terhadap penguasaan yang berpanjangan oleh Presiden Kongo, Joseph Kabila serta pilihan raya yang lama ditangguhkan.
Di bandar Kinshasa, seorang lelaki terbunuh dan dua orang cedera parah kerana polis menembak mati para penunjuk perasaan.
“Sejak 7 pagi ini, kami menerima tiga orang yang cedera dari protes itu, dua orang cedera parah dan seorang meninggal dunia akibat luka di dada,” kata Francois Kajingulu, seorang doktor kanan di hospital St Joseph De Limete di pusat Kinshasa.
Wartawan AFP di bandar timur Kisangani berkata sekurang-kurangnya dua orang mengalami kecederaan peluru ketika anggota melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

Beratus-ratus penyokong berhimpun tetapi berjaya dileraikan oleh pasukan keselamatan dengan melepaskan tembakan dan gas pemedih mata.
Para penunjuk perasaan melarikan diri ke katedral sambil menyanyikan lagu kebangsaan, ‘Debout Congolais’ (Bangkit Rakyat Kongo).
Kelmarin, beratus-ratus penyokong parti pemerintah menyerang Katedral Kinshasa setelah pihak pemerintah mengharamkan perarakan yang dipanggil oleh Jawatankuasa Penyelarasan Lay (CLC), sebuah organisasi sosial dan rohani yang berpengaruh.
Sebelum ini, protes yang dilakukan pada malam Tahun Baharu dan 21 Januari lalu telah menyaksikan 15 orang terkorban oleh pasukan keselamatan, menurut pengiraan yang dibuat oleh penganjur dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Namun, Kerajaan Kongo mengatakan hanya dua orang yang terkorban dalam protes tersebut.