Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seorang wanita hamil meninggal setiap 2 minit akibat komplikasi

    GENEVA, 23 FEB – Setiap dua minit seorang wanita meninggal dunia akibat komplikasi kehamilan atau ketika lahirkan anak walaupun kadar kematian ibu menurun sebanyak satu pertiga dalam tempoh 20 tahun.

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini melaporkan bahawa berlaku penurunan ketara antara 2000 dan 2015, namun angka itu kemudian tidak berubah antara 2016 dan 2020, malah di beberapa wilayah ia semakin meningkat.

    Menurut laporan PBB dan agensinya yang lain, kadar kematian ibu secara keseluruhan menurun sebanyak 34.3 peratus dalam tempoh 20 tahun, berbanding 339 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran pada tahun 2000 kepada 223 kematian pada 2020.

    Namun, ini bermakna hampir 800 wanita meninggal dunia setiap hari pada 2020, atau sekitar seorang setiap dua minit. Belarus mencatatkan penurunan terbesar sebanyak 95.5 peratus, manakala Venezuela menyaksikan peningkatan tertinggi.

    Antara 2000 dan 2015, peningkatan tertinggi adalah di Amerika Syarikat (AS). Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata walaupun kehamilan sepatutnya menjadi detik yang penuh harapan dan pengalaman positif untuk semua wanita, ia masih menjadi pengalaman mengerikan bagi jutaan di serata dunia.

    “Statistik baharu ini mendedahkan keperluan mendesak untuk memastikan setiap wanita dan gadis mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan kritikal… dan mereka boleh menggunakan sepenuhnya hak reproduktif mereka,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda