Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Seorang individu warganegara asing telah diarah untuk melapor diri setelah Operasi SAKAT 133/2023 yang diadakan baru-baru ini oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) Kuala Belait.
Operasi SAKAT tersebut telah disasarkan pada satu projek pengubahsuaian bangunan di Jalan Sungai Pandan, Kuala Belait.
Hasil daripada operasi itu, 11 orang warganegara asing telah diperiksa, dan telah didapati seorang daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan Imigresen 15(3) iaitu tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.
Sehubungan itu, individu tersebut diarah untuk melaporkan diri ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut.
Ke arah meningkatkan aktiviti penguatkuasa undang-undang warganegara asing di Negara Brunei Darussalam, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah Imigresen dengan menghubungi ke talian Hotline Jabatan Imigresen Pendaftaran Kebangsaan di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).


