Seoul akan tingkat kebajikan keluarga isi rumah tunggal

SEJONG, 17 JAN – Korea Selatan akan mengumumkan satu set langkah komprehensif pada Mei bagi meningkatkan perkhidmatan kebajikan bagi isi rumah tunggal, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan seorang pegawai kanan pada Jumaat.

Naib Menteri Kewangan Kim Yong-beom berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat pertama mengenai keluarga isi rumah tinggal, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Langkah itu termasuk peningkatan taraf hidup, jaringan keselamatan sosial dan pekerjaan bagi keluarga isi rumah tunggal, menurut kenyataan tersebut.

Bilangan keluarga isi rumah tunggal terus meningkat pada tahun lepas, menyumbang hampir 30 peratus daripada semua isi rumah di Korea Selatan susulan penyebaran meluas trend kekal bujang dalam kalangan orang ramai.

Terdapat sejumlah 5.85 juta isi rumah yang terdiri daripada anggota tunggal pada 2018 berbanding 5.62 juta tahun sebelumnya, menurut data yang dikumpulkan oleh Jabatan Perangkaan Korea. Ini menyumbang sebanyak 29.3 peratus daripada keseluruhan isi rumah di negara itu tahun lepas, dedah data tersebut.

Peratusan mereka yang hidup bersendirian telah meningkat secara mendadak selama beberapa dekad dan mencecah sebanyak 20 peratus pada 2005 buat kali pertama. – Bernama