Wednesday, November 27, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seoul dilitupi salji, banyak penerbangan dibatal, tangguh

    SEOUL, 27 NOV – Ibu negara Korea Selatan, Seoul, mencatatkan salji paling lebat pada bulan November sejak lebih 100 tahun lalu, menurut Agensi Meteorologi Korea (KMA). 

    Setakat jam 7:00 pagi, KMA merekodkan 16.5 sentimeter salji, melebihi rekod terdahulu sebanyak 12.4 sentimeter yang dicatat pada 28 November 1972. Ini juga merupakan salji pertama musim ini, menandakan November paling bersalji sejak stesen pemerhatian cuaca ditubuhkan pada tahun 1907. 

    Amaran salji lebat telah dikeluarkan, menyeru penduduk untuk “mengelakkan penggunaan kenderaan dan aktiviti luar” serta “berwaspada terhadap risiko pokok tumbang”. Amaran ini dikeluarkan apabila salji melebihi 20 sentimeter dalam tempoh 24 jam. 

    Dataran Gwanghwamun dan Istana Gyeongbok diselimuti salji di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. – AP

    Salji tebal yang melanda seluruh negara turut menyebabkan kemalangan jalan raya akibat kenderaan tergelincir di jalan licin. Namun, tiada kecederaan serius dilaporkan. 

    Tumbangnya pokok juga mengakibatkan gangguan bekalan elektrik, menjejaskan lebih 150 isi rumah di sekitar Seoul pada waktu pagi. 

    Jalan-jalan utama ditutup untuk penyelenggaraan, menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk. Sementara itu, sekurang-kurangnya 22 penerbangan domestik dibatalkan dan beberapa lagi mengalami kelewatan, menurut Kementerian Pengangkutan. 

    Presiden Yoon Suk Yeol mengarahkan pegawai untuk “meminimumkan kerosakan dan kesulitan awam akibat salji tebal,” dengan ramalan salji dijangka berterusan sehingga pagi esok. 

    Youn Ki-han, Pengarah Bahagian Ramalan Meteorologi Seoul, menjelaskan kepada AFP bahawa fenomena itu berpunca daripada “perbezaan suhu yang ketara antara permukaan laut dan udara sejuk”. 

    “Di Laut Barat, kelembapan terbentuk, dan apabila udara sejuk dari utara bergerak turun seperti biasa, jika Laut Barat juga sejuk seperti tahun-tahun sebelumnya, perbezaan suhu lebih kecil,” kata Youn. 

    Namun, disebabkan suhu panas yang luar biasa dalam beberapa minggu kebelakangan ini, perbezaan ini menjadi lebih ketara.  – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda